Salinan kad pengenalan, kad pengenalan dan sijil lahir palsu ditemui di dalam bilik tidur di sebuah rumah di Taman Samudera. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
Noor Hidayah Tanzizi


Manjung: Suami isteri warga Filipina dipercayai dalang sindiket pemalsuan kad pengenalan di sekitar daerah ini ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Samudera, Seri Manjung, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi, dua individu terbabit antara 18 warga Filipina yang ditahansepasukan pegawai dan anggota Ibu Pejabat Jabatan Perdaftaran Negara (JPN) Putrajaya, JPN negeri dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) negeri Perak.

Pengarah Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Ibu Pejabat JPN Putrajaya Mohamad Yusri Hashim berkata, dua individu berkenaandipercayai terbabit dalam pemalsuan dokumen pengenalan diri selepas penemuan ratusan salinan kad pengenalan, kad pengenalan dan sijil lahir di rumah berkenaan.

Menurutnya, modus operandi sindiket itu sering berpindah lokasi dari satu taman perumahan ke taman lain dan mereka menyewa rumah berkenaan sejak Ogos tahun lalu.

"Seramai 14 warga asing memiliki kad pengenalan palsu manakala empat lagi dikesan menggunakan kad pengenalan milik orang lain.

"Hasil pemeriksaan lanjut mendapati mereka turut memalsukan pasport dan kad CIDB namun tiada wang tunai ditemui di rumah berkenaan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 April 2016 @ 10:11 AM