Pemain Kedah, Liridon Krasniqi (tengah) disaingi emain Sabah, Ummareng Bacok (kiri) dan Mohd Azizan Nordin pada perlawanan di Stadium Darul Aman. FOTO NSTP/AMRAN HAMID
Oleh Ahmad Saufi Mansor


Alor Setar: Walaupun sekadar seri 1-1 namun Kedah menempah slot empat terakhir selepas menewaskan Sabah dengan agregat 3-2 pada suku akhir kedua Piala FA di Stadium Darul Aman, di sini, sebentar tadi.

Babak awal perlawanan banyak dikuasai Kedah yang melakukan serangan bertali arus ke kubu pasukan Sabah.

Kedah nyaris mendapat gol awal namun tandukan Liridon Krasniqi hasil sepakan percuma M Syazwan Zainon melepasi palang pada min 3.

Skuad Badak kemudian melakukan serangan balas, namun hantaran lintang Prince Tochukwu Nnake pada m-6 ditangkap mudah oleh M Farhan Bakar.

Manakala cubaan Ahmad Fakri Sharani sekali lagi nyaris memperoleh gol, namun terkena palang gol lawan pada m-7 yang turut menggamatkan stadium.

Gol pertama Kedah diperolehi menerusi sepakan penalti oleh Carlos Kahe menewaskan Rozaimie Rohim pada m-22 apabila bola terkena tangan pemain lawan dalam kotak penalti.

Carlos Kahe nyaris menjaringkan gol sendiri tetapi tandukannya melepasi palang pada m-25 hasil sepakan percuma pemain Sabah Dedi Kusnandar.

Manakala Sabah yang melakukan serangan mengejut gagal disempurnakan Ummareng Bacok apabila sepakannya tidak tepat pada m-30.

Liridon Krasniqi turut mensia-siakan peluang apabila sepakannya hasil kuisan Carlos Kahe tersasar di kiri gawang Sabah pada m-48.

Sabah yang mula mendapat rentak menjaringkan gol penyamaan menerusi tandukan Ummareng Bacok hasil sepakan sudut oleh Dedi Kusnandar pada m-58.

Kedah yang bagai hilang punca pada babak kedua kembali panas dengan melakukan serangan berterusan, namun gagal menemui sentuhan penyudah selain banyak bertahan dengan asakan lawan.

Percubaan berbahaya Sandro Da Silva pada m-86 turut berjaya ditampan penjaga gol lawan untuk kedudukan kekal 1-1 ke wisel penamat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 April 2016 @ 12:21 AM