ZAQHWAN terpantas sesi ujian masa.

Alor Setar: Juara keseluruhan CP130 Mohd Zaqhwan Zaidi berazam merealisasikan misi pasukan untuk memenangi Anugerah Berpasukan Keseluruhan selepas mempamerkan aksi terpantas pada sesi ujian masa pusingan terakhir Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di sini, semalam.

Pelumba Givi Honda Yuzy Racing itu mencatat 49.670s, mengatasi pelumba Motul Yamaha YY Pang, Mohd Adib Rosley, 49.931s.

Ahmad Fazli Sham (PETRONAS Yamaha Maju Motor) ketiga dengan 49.949s.

“Selain merebut kemenangan peribadi, saya mahu membantu pengurus pasukan Shahrol Yuzy Ahmad Zaini meraih gelaran pasukan terbaik tahun ini.

“Berikutan masing-masing mempunyai dua pelumba yang akan bersaing dalam perlumbaan akhir, peluang masih terbuka di antara kami dan pasukan PETRONAS Yamaha-CKJ (Ahmad Afif Amran dan Mohd Affendi Rosli),” kata Zaqhwan.

Mengulas mengenai aksi di Alor Setar, Zaqhwan berkata: “Dari segi kelajuan, jentera tidak mempunyai banyak masalah kerana seperti kebiasaannya, jurutera pasukan sudah menyediakan jentera pada tahap terbaik.”

Dalam saingan CP115, Tengku Amirul Haffirudin (Motul Yamaha YY Pang) muncul pelumba terpantas ujian masa dengan catatan 52.595s.

Dua pelumba FELDA Pbafb Tech Racing, Aziamizat Sumairy dan Mohd Iqbal Amri Abd Malek kedua dan ketiga terpantas, masing-masing dengan 53.078s dan 53.092s.

Dalam kategori Wira, juara keseluruhan Khairul Idham Pawi (Kozi Yam Honda Racing) terus mendominasi dengan catatan terpantas, 53.214s diikuti rakan sepasukan, Mohd Harith Farhan 53.729s. Saiful Izman Ahmad Zamani (FELDA Pbafb Tech Racing) ketiga, 53.755s.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 November 2014 @ 5:06 AM