SAM tidak mahu tamak terima tawaran berlakon.
SAM bersama Fazura.
Oleh Ramlah Zainal

Bukan 'demand', sebaliknya aktor hebat Shaheizy Sam Abd Samad mengakui lebih selektif dengan projek drama dan filem yang ditawarkan kepadanya sejak kebelakangan ini.

Bagi pemenang trofi Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2010 dan 2012, dia ingin memastikan setiap watak dilakonkan bukan saja untuk kepuasan diri, tetapi turut meninggalkan kesan mendalam pada penonton.

Antara filem menaikkan namanya di persada hiburan tanah air, Adnan Sempit, Kongsi, Songlap dan Mamat Cupcakes. Namun ramai yang perasan tidak banyak drama dan projek filem dilakonkannya sejak kebelakangan ini.

"Sebagai pelakon sepenuh masa, saya tidak mahu tamak merebut setiap tawaran yang datang, tetapi hasilnya mengecewakan. Terus terang saya menanti naskhah yang boleh mencabar lakonan, sekali gus memantapkan lagi prestasi sedia ada.

"Saya tidak mahu melakonkan karakter yang hampir sama saja kerana peminat pun akan bosan kerana tidak ada kelainan," katanya.

Damba kru terbaik

Kehebatan Sam turut terbukti apabila dia mengungguli trofi Pelakon Lelaki Terbaik Filem (menerusi filem Songlap) pada Anugerah Skrin 2012.

Namun kata Sam yang tetap merendah diri, masih banyak lagi ilmu lakonan ingin ditimbanya dalam mencapai misi menjadi aktor disegani ramai di negara ini.

"Saya percaya untuk menjadi pelakon yang berkaliber kita perlu bekerja dengan barisan tenaga produksi yang bagus. Selain skrip yang bagus, ia turut membabitkan hasil kerjasama dari barisan pelakon, pengarah dan tenaga produksi yang berkualiti.

"Misalnya, Red Films yang cukup dikenali dalam menghasilkan karya yang bagus seperti filem Pisau Cukur, Istanbul Aku Datang dan terbaru Manisnya Cinta Di Cappadocia (MSDC) dan impian itu tercapai apabila saya dilamar untuk membintangi MSDC yang menjalani penggambaran di Istanbul, Turki," katanya.

Ketika ditemui, Sam beritahu dia baru saja selesai penggambaran filem Polis Evo arahan Ghaz Abu Bakar terbitan Astro Shaw. Dalam filem itu dia bergandingan dengan Zizan Raja Lawak dan Nora Danish.

Manakala filem lakonannya berjudul Kasutku Kusut arahan Pierre Andre akan ditayangkan di pawagam tanah air bermula 18 Disember ini. Barisan pelakon yang mewarnai filem terbitan MIG ini ialah pendatang baru Atikah Suhaimie, Along Eyzendy dan ramai lagi.

Lebih memberangsangkan, filem lakonannya MCDC arahan Bernard Chauly menampilkan gandingan mantapnya dengan aktres hebat Nur Fazura.

Filem terbitan bersama Global Station, Red Films dan Astro Shaw ini mula menjengah pawagam tanah air bermula 11 Disember ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 November 2014 @ 5:07 AM