REKA bentuk dinamik dengan saiz badan tegap.
GAYA MPV yang sesuai untuk keluarga kecil.
PERUMAH lampu belakang yang jelas pada waktu malam.
KOKPIT pemandu sarat butang kawalan.
SUIS kawalan mod pemanduan.
RUANG menyimpan barang yang luas.
ENJIN empat silinder, TwinPower Turbo petrol menjimatkan minyak.
Oleh Badrila Jamlus

Gergasi pengeluar automotif terkemuka Jerman, BMW memecah tradisi apabila memasuki pasaran dunia dengan memperkenalkan kenderaan pelbagai guna (MPV) pertamanya menerusi model BMW 220i Gran Tour (GT) kerana sebelum ini, BMW lebih sinonim dengan jentera sedan empat mahupun dua pintunya.

Kehadiran MPV ini meskipun dilihat sudah ketinggalan berbanding pesaing terdekatnya yang memiliki barisan MPV bersaiz besar atau kompak, usaha BMW menyertai segmen itu boleh diberikan pujian.

Apatah lagi industri ini semakin kompetitif dan berlumba-lumba memperkenalkan model MPV kompak yang bukan sahaja boleh dipandu sebagai kenderaan harian untuk menghantar anak ke sekolah atau ke tempat kerja, malah memberikan satu status kepada diri seseorang.

BMW yang sememangnya terkenal dengan penghasilan kenderaan yang berkualiti dan memberikan kepuasan kepada pemanduan, tidak pernah mengabaikan aspek prestasi dan terbukti menerusi sesi pandu uji MPV pacuan roda hadapan itu, baru-baru ini.

Tujahan kuasa menerusi enjin BMW Efficient Dynamics 1,998cc dengan teknologi TwinPower Turbo cukup berkuasa untuk memacu kenderaan keluarga ini dengan pantas. Ini terbukti apabila tindak balas kereta ini benar-benar responsif apabila dipandu di lebuh raya dan laluan berbukit.

Kestabilan pemanduan BMW 220i GT di atas jalan dengan sokongan suspensi dan tindak balas stereng yang baik termasuk ketika menerjah selekoh tajam. Malah, mod pemanduan Sport juga tersedia bersama ECO Pro yang menjurus pada penjimatan bahan api.

Bagi penumpang pula, model iti mempunyai pelbagai kelengkapan yang menjadikan perjalanan satu pengalaman selesa. Daripada tempat letak cawan, soket pengecas dan ruang yang memadai, anda hanya perlu bersandar dan menikmati perjalanan dengan selamat.

Selain itu, kemasan bagi satu-satunya varian BMW 220i GT ini jelas berkualiti dengan kebanyakan bahagian disalut dengan kulit sekali gus menimbulkan suasana premium.

Mungkin ada ciri yang boleh diperbaiki adalah pencorong udara pendingin hawa untuk penumpang belakang yang terletak di bawah. Apa yang mungkin boleh dilakukan ialah menyediakan pencorong udara di bahagian atas kepala kerana cuaca panas dan lembap di negara ini memerlukan seseorang itu bersedia sepanjang masa apatah lagi barisan tempat duduk ketiganya yang sukar mendapat hembusan udara sejuk.

Selain itu, walaupun kedudukan kerusi barisan ketiganya lebih sesuai diduduki kanak-kanak bawah 12 tahun, sebagai MPV premium, jarang sekali ruang itu digunakan secara total kerana ada pilihan MPV bersaiz besar yang sesuai dinaiki oleh golongan dewasa.

Bagaimanapun, pujian tetap harus diberikan pada beberapa ciri lain. Sebagai contoh, tempat duduk barisan ketiga boleh dilipat rata bagi memberi lebih ruang dengan hanya menarik butang elektronik manakala barisan kedua pula secara manual.

Jika anda memerlukan ruang lebih besar untuk membawa barangan, lipat sahaja semua kerusi ini kecuali pemandu dan ia menawarkan keluasan bagi mengisi ruang yang diperlukan. Selain itu, sekiranya anda berseorangan dan tangan dalam keadaan penuh, but boleh dibuka dengan menghayunkan kaki di bahagian bawah bahagian itu.

Sekiranya semua ini masih tidak boleh memuaskan penumpang anda, BMW Malaysia juga menyediakan pelbagai aksesori tambahan lain seperti tempat duduk bayi, penyangkut baju, meja lipat, penyekat cahaya dan pemegang tablet untuk dijadikan skrin tontonan.

Ruang panel kokpitnya juga padat dengan butang sentuhan malah skrin di tengah-tengah papan pemuka itu memberikan pelbagai informasi dengan hanya mengawalnya dengan tombol kawalan berhampiran gear. Anggaplah kehadiran model MPV oleh BMW ini sebagai langkah permulaan sebelum memperkenalkan MPV lebih besar pada satu hari nanti.

Tidak mustahil sekiranya inovasi dan kecanggihan dunia automotif berupaya mengubah kaedah pengangkutan pada masa depan yang dapat memenuhi kehendak dan kepuasan pengguna.

INFO

BMW 220i GT

- Enjin: 1,998cc, BMW TwinPower Turbo, empat silinder

- Transmisi: Steptronic lapan kelajuan

- Kuasa maksimum: 192 hp @ 4,700 rpm

- Tork maksimum: 280 Nm @ 1,250 - 4,600 rpm

- Ciri keselamatan: Enam beg udara, ABS, Dynamic Braking Control (DBC), Dynamic Stability Control (DSC)

- Harga: RM279,800

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 April 2016 @ 5:02 AM