Ardini Sophia Sina


Selain adiwira lelaki seperti Spiderman, Batman, Iron Man dan Superman, ada juga adiwira wanita seperti Wonder Woman dan Catwoman.

Bagaimanapun kehadiran Gal Gadot, 30, sebagai pelakon baru memegang watak Wonder Woman dalam filem Batman V Superman: Dawn of Justice, berjaya mencuri perhatian penonton.

Batman v Superman: Dawn of Justice hanyalah salam perkenalan daripada Gal Gadot kerana bakal menjayakan filem Wonder Woman. Filem arahan Patty Jenkins itu bakal mengangkat sisi berani dan cekal seorang wanita.

Pemilihannya untuk watak itu disifatkan mengubah arus perfileman di Amerika Syarikat (AS) apabila menjadi wanita bukan AS pertama memegang watak Wonder Woman yang sebelum ini dipegang Lynda Carter.

Gal Gadot terharu apabila dipilih melakonkan watak Wonder Woman dan berlakon dalam karya yang mampu memberi inspirasi kepada orang ramai khususnya wanita.

Katanya, banyak maklum balas positif menyatakan rasa kurang puas hati kerana kemunculannya dalam

filem Batman v Superman: Dawn of Justice sangat pendek.

“Mereka puji saat itu sangat mengagumkan dan saya hargai komen mereka. Ia adalah satu penghargaan dan memberi semangat untuk menampilkan kekuatan wanita.

“Saya mahu buktikan bukan lelaki saja boleh menjadi wira, wanita juga boleh menjadi sama hebat seperti mereka,” katanya.

Membina karier di Hollywood, Gal Gadot tidak pernah membayangkan dirinya yang berasal dari kampung terpencil, bakal menyinar sebagai aktres berjaya di peringkat antarabangsa.

Gal Gadot berkata, pada awalnya dia memasang angan-angan untuk menjadi koreografer tarian ketika masih bergelar mahasiswa dalam jurusan undang-undang.

Bagaimanapun, kehidupannya berubah apabila menyandang gelaran Miss Isreal 2004 dan layak ke pertandingan Miss Universe pada tahun sama.

Siapa sangka wanita jelita ini pernah berkhidmat sebagai tentera selama dua tahun. Selepas menyandang gelaran Miss Israel, dia menyertai perkhidmatan tentera.

Wajahnya menarik minat pengarah James Bond untuk dijadikan Gadis Bond dalam Quantum of Solace tetapi tewas kepada Olga Kurylenko.

Bagaimanapun dia diberi watak Gisele dalam Fast & Furious 4 dan tiga lagi filem Fast & Furious. Ternyata pengalaman dan kekuatannya ketika menjadi tentera membantunya melakukan aksi lagak ngeri sendiri buat kali pertama dalam Fast And Furious 6.

Dia sekali lagi bersaing dengan Olga untuk watak Wonder Woman tetapi kali ini dia berjaya. Memulakan penggambaran filem Wonder Woman baru-baru ini, Gal Gadot akui karakter Diana dalam filem yang mengangkat adiwira wanita itu jauh berbeza dengan karakternya dalam Batman v Superman: Dawn of Justice.

Katanya, Wonder Woman dalam Batman v Superman seorang yang sangat berpengalaman dan memahami karakter dan naluri lelaki tetapi filem Wonder Woman memaparkan perjalanan Diana menjadi adiwira.

“Kisah itu tidak pernah diceritakan sebelum ini. Diana bermula sebagai wanita suci dan naif. Dia anak muda yang idealis mengenai kehidupan dan lelaki. Dia tidak tahu dua perkara itu sebenarnya sangat kompleks,” katanya.

Gal Gadot berkata, filem Wonder Woman juga bukanlah kesinambungan Batman v Superman dan tidak akan ada kaitan dengan Wonder Woman dalam filem Justice League yang turut ditayangkan tahun hadapan.

Ia turut dijayakan Chris Pine, Robin Wright, Danny Huston, David Thewlis, Ewen Bremner, Said Taghmaoui, Elena Anaya dan Lucy Davis.

Dia mengikat kontrak bukan hanya untuk filem Wonder Woman malah dua filem lagi, Justice League (Bahagian 1) dan Justice League (Bahagian 2) masing-masing bakal ditayangkan 2017 dan 2019.

Selain berlakon, Gal Gadot turut menjadi model iklan komersial. Baru-baru ini, dia menjadi wajah baru untuk wangian Gucci Bamboo. Dalam sesi temu bual berkaitan minyak wangi, dia akui sangat tertarik dengan bau produk baru Gucci.

“Ia menyerlahkan sisi wanita yang lemah lembut tetapi pada masa yang sama sangat kuat dan cekal. Saya sukakan bau Gucci Bamboo kerana ia tidak terlalu kuat dan menusuk hidung,” katanya.

Mengenai maksud feminisme, dia akui ramai orang salah anggap mengenai maksud sebenar feminisme.

Katanya, ia sebenarnya mengenai tuntutan kesamaan dengan semua individu dan dia mahu semua orang tidak kira jantina dan kaum mendapat peluang pekerjaan dan gaji yang sama.

“Saya banyak melihat kesungguhan ibu yang bekerja keras membantu ayah menyara keluarga. Ia memberikan saya motivasi untuk melakukan hal yang sama. Sebab itulah saya berada pada tahap sekarang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 April 2016 @ 5:02 AM