Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Pelumba PETRONAS Raceline Malaysia Hafizh Syahrin Abdullah (gambar) mengekalkan momentum perlumbaan pertama musim ini, apabila mencatat masa keenam terpantas sesi latihan bebas Kejuaraan Motosikal Dunia di Grand Prix (GP) Argentina semalam.

Pada perlumbaan pertama di GP Qatar bulan lalu dia hampir menaiki podium dalam saingan Moto2 apabila menamatkan perlumbaan di tempat keempat.

Semalam, di Litar Termas De Rio Hondo dia mencatat satu minit 44.936 saat, hanya kurang 0.403s daripada Johann Zarco dari Ajo Motorsport yang menjadi pelumba terpantas.

Menurut Hafizh, sesi latihan kedua berlangsung dalam cuaca panas dan tayarnya kurang mencengkam berbanding yang pertama.

“Bagaimanapun, jentera saya berada dalam keadaan baik dan mampu melonjak ke depan untuk catatan masa lebih baik. Kami tidak akan melakukan sebarang perubahan tapi masih perlu untuk melakukan sedikit analisis,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Sementara itu pengurus pasukan, Barry Leong berkata, catatan masa Hafizh menunjukkan peningkatan walaupun suhu litar sangat tinggi.

“Kami berasa lega apabila melihat dia mempunyai keserasian dengan jentera. Pada masa sama, kami juga gembira kerana mampu mempersiapkan jentera yang baik untuknya,” katanya.

Pelumba pasukan Idemitsu Honda, Takaaki Nakagami mencatat masa kedua terpantas, 1:44.723s, manakala Sam Lowes dari Federal Oil Gresini Moto2 ketiga terpantas (1:44.768s).

Dua lagi pelumba Jonas Folger dan Alex Marquez masing-masing menduduki tempat keempat dan kelima terpantas dengan 1’44.873s dan 1’44.921s.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 April 2016 @ 5:05 AM