Oleh Sharifah Norfaezah Wan Ahmad Makki Mashor

Kuala Lumpur: Kerajaan Persekutuan dan negeri disarankan melihat alternatif terbaik untuk mengembalikan jumlah tanah rizab Melayu yang semakin berkurangan ketika ini.

Bagi tempoh dari 1931 sehingga 2009, jumlah tanah rizab hanya berbaki sebanyak 12 peratus atau 1.57 juta hektar berbanding jumlah asalnya.

Ketua Pegawai Eksekutif IM Global, Ishak Ismail berkata, sebelum ini banyak tanah yang mempunyai pemilik termasuk tanah rizab Melayu dibangunkan bagi tujuan infrastruktur seperti jalan raya, bangunan awam, sekolah dan sebagainya, namun tidak digantikan semula.

Beliau berkata, ada juga yang dijual kepada golongan bukan Bumiputera menerusi pengesahan atau kelulusan daripada kerajaan negeri.

“Tanah rizab Melayu diwujudkan melalui wasiat oleh Majlis Raja-Raja sebelum merdeka dan dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan bagi menjaga kedaulatan Tanah Melayu dan penduduk asli di sini.

“Ia juga dijadikan sebagai hak orang Melayu ke atas negara yang didiami,” katanya.

Beliau berkata, sebagai penyelesaian, kerajaan Persekutuan dan negeri perlu lebih tegas ke atas penggantian mana-mana tanah rizab yang mahu dibangunkan kepada tanah lain yang setimpal supaya jumlahnya tidak terus berkurangan.

Menurutnya, ia juga adalah salah satu cara membantu pemilikan hartanah oleh Bumiputera yang mana tanah yang dibeli boleh dijadikan kepada status perumahan selepas beberapa tempoh tertentu.

“Jika dilihat pada sejarah, tanah rizab Melayu milik individu banyak dijadikan pembangunan bagi infrastruktur awam dan hanya digantikan dalam bentuk wang dan kaedah ini dilihat kurang berkesan memandangkan baki status tanah ini sudah terlalu berkurangan,” katanya.

Ishak berkata, perkara ini perlu dikaji dan perlu ada pihak yang memantau secara dekat perkara ini dari semasa ke semasa.

“Sasaran 50 peratus daripada 12.9 juta hektar tanah di Semenanjung Malaysia sebagai tanah rizab tidak tercapai. Sehingga 2009, hanya 1.57 juta hektar kekal sebagai tanah rizab Melayu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 November 2014 @ 5:09 AM