CORNTHWAITE
CORNTHWAITE

Kuala Lumpur: Dua penyerang Brazil menjadi taruhan Selangor bagi memastikan jentera serangan Merah Kuning tetap berbisa selepas kehilangan penjaring terbanyak musim ini, Paulo Rangel kepada Terengganu.

Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) mengesahkan sudah mendapatkan khidmat Guilherme De Paula Lucrecio dan Leandro Do Santos Oliveira bagi memperkukuhkan Merah Kuning mengharungi cabaran Liga Malaysia 2015.

Lucrecio, penyerang kelahiran Brazil berusia 28 tahun yang beraksi untuk kelab Moldova, FC Milsami manakala Oliveira bekas penyerang T-Team yang turut berkemampuan beraksi di bahagian tengah.

Selain Andik Vermansah, kehadiran pertahanan berdarah England-Australia, Robert Cornthwaite yang kini beraksi bersama kelab Korea, Jeonnam Dragons akan menguatkan cabaran Selangor.

“Semua pemilihan pemain import dilakukan ketua jurulatih Mehmet Durakovic,” kata Setiausaha Agung FAS Rosman Mohd Ibrahim.

Rangel sebelum ini membuat keputusan meninggalkan Selangor walaupun sudah menandatangani kontrak bersama Merah Kuning sehingga 2016 selepas melahirkan rasa kurang senang terhadap beberapa perkara.

“Bagi saya, seorang pemain tidak akan membentuk sebuah pasukan. Jika pemain pemain lain bekerja bersungguh-sungguh dan bersemangat, sesebuah pasukan itu pasti berjaya,” katanya.

Selain Rangel, Merah Kuning turut kehilangan dua pemain kebangsaan - Mohd Farizal Marlias dan S Kunanlan - namun sudah mendapatkan penggantinya apabila menandatangani semula bekas penjaga golnya, Norazlan Razali selain S Subramaniam, K Thanaraj, Mohd Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham dan Saiful Ridzuwan Selamat untuk melengkapkan senarai 24 pemain.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 November 2014 @ 5:10 AM