SESI perkongsian maklumat bersama pelajar bagi memastikan mereka memperoleh maklumat betul mengenai pemilihan institusi.

Ramai bercita-cita melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT) tetapi kekurangan maklumat menyebabkan pelajar salah membuat pilihan.

Bagi membantu lepasan sekolah memperoleh maklumat tepat mengenai universiti awam dan swasta, Kolej Kediaman Keempat Universiti Malaya menganjurkan program Projek Seminar Pendidikan Kebangsaan (PROSPEK), baru-baru ini.

Program dengan kerjasama syarikat HP itu turut memberi maklumat mengenai pinjaman dan biasiswa yang boleh dimohon pelajar.

Seramai 450 pelajar dari sekolah terpilih sekitar Selangor dan Kuala Lumpur menyertai PROSPEK.

Pengarah PROSPEK Aidil Mustafa berkata, program itu menjadi wadah penting menyampaikan maklumat kepada pelajar supaya mereka membuat pilihan betul untuk melanjutkan pengajian.

Menurutnya, pemilihan itu penting bagi membantu pelajar memilih institusi yang benar-benar sesuai dengan minat dan kelayakan, sekali gus meminimumkan kesalahan sewaktu membuat permohonan.

“Pada masa ini, banyak institusi menawarkan pe­ngajian, namun bukan semua selari dengan minat dan kehendak pelajar.

“PROSPEK membantu pelajar membuat pilihan selain memberi bimbingan supaya mereka mengetahui institusi yang benar-benar mampu merealisasikan keinginan mereka melanjutkan pengajian,” katanya.

Majlis turut dihadiri Timbalan Ketua Setiausaha Pembangunan Pelajaran Kementerian Pendidikan Datuk Seri Azmi Lateh.

Turut diadakan forum kerjaya perkongsian daripada tokoh berpengalaman dalam industri.

PROSPEK akan meneruskan jelajahnya ke negeri di pantai timur sepanjang April ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 April 2016 @ 5:01 AM