BERGANDING dengan Keith selaku teraju utama.
Ramlah Zainal


Sesi latihan teater Ombak Rindu baru saja dimulakan, namun pemilihan pelakon Uqasha Senrose mendapat kritikan hebat daripada pelbagai pihak termasuk di laman sosial ketika ini.

Bukan saja pemilihan pelakon jelita itu dipersoalkan, malah ramai yang memandang rendah kemampuannya untuk menjiwai watak Izzah yang pernah dilakonkan Maya Karin dalam filem Ombak Rindu sebelum ini.

Namun,Uqasha tidak patah semangat kerana setiap kritikan menjadi pembakar semangat buatnya untuk menyahut cabaran beraksi di pentas teater yang diadaptasi daripada novel popular Ombak Rindu itu.

“Saya hanya pilihan kedua selepas menggantikan adik saya, Nelydia yang tidak dapat berlakon dalam teater ini. Saya juga mengambil tempoh seminggu untuk memberi jawapan kepada penerbit untuk berlakon dalam teater ini.

“Saya terima tawaran ini kerana sudah tiba masanya untuk saya melangkah lebih jauh dan melihat kemampuan beraksi di pentas teater pula.

“Kalau tidak mencuba, sampai bila-bila pun saya tidak akan tahu sejauh mana kemampuan di pentas teater. Jika gagal sekali pun nanti, saya tetap puas hati kerana sekurang-kurangnya sudah mencuba,” katanya.

Bagaimanapun, kata Uqasha, dia sudah bersedia menerima sebarang kritikan dan kecaman daripada peminat nanti.

“Saya akui ramai yang mempersoalkan pemilihan saya disebabkan reputasi sebelum ini. Saya anggap ia sebagai motivasi diri dan berharap peminat akan menilai diri menerusi hasil lakonan nanti,” katanya.

Julung kali beraksi di pentas teater, pastinya Uqasha berasa gementar kerana watak yang dilakonkan juga berat dan memerlukan komitmen yang sangat tinggi.

Apatah lagi, Uqasha perlu melakonkan dua watak berbeza iaitu Izzah dan Suri dalam cerita ini.

“Selepas membaca skripnya, saya sedar watak Izzah dan Suri ada kelainan kerana ia daripada novel Ombak Rindu 1 dan Ombak Rindu 2.

“Sebagai pelakon, saya perlu bijak untuk membezakan kedua watak itu kerana Izzah, isteri jujur dan lemah lembut manakala Suri pula adalah wanita yang hilang ingatan.

“Saya berharap peminat tidak akan membandingkan lakonan saya dengan Maya Karin kerana dia pelakon yang hebat dan saya tidak setanding dengannya,” katanya.

Mengulas mengenai babak pula, Uqasha berkata, paling mencabar ialah untuk menjayakan babak Izzah bermonolog dalam cerita itu.

Dalam pementasan arahan A Aris Kadir itu, Uqasha berganding dengan Keith Foo selaku teraju utamanya.

“Saya percaya dengan bimbingan pengarah dan kerjasama pelakon lain, saya mampu merealisasikan babak itu seperti dikehendaki skripnya.

“Saya juga pernah bekerjasama dengan Keith dalam drama bersiri Dia Isteri Luar Biasa sebelum ini dan tiada masalah mendapatkan keserasian dengannya dalam teater ini,” katanya.

Ditanya babak rogol pula, Uqasha berkata, dia tidak mahu menggunakan pelakon gantian untuk menjayakan babak itu walaupun dirinya berhijab.

“Jika menggunakan pelakon gantian macam mana saya ingin menjiwai babak wanita yang dirogol itu dengan lebih berkesan?

“Saya juga tidak akan membuka tudung semata-mata untuk menjayakan babak rogol sebaliknya akan mengenakan pakaian nipis mengikut warna kulit,” katanya.

Teater tulisan Rosminah Mohd Tahir yang juga adaptasi daripada novel popular karya Fauziah Ashari ini bakal dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur mulai 22 April hingga 1 Mei ini.

Teater terbitan CTRA Production turut menampilkan pelakon seperti Zarina Zainoordin, Karl Shafek, Zaidi Omar dan anggota kumpulan Forteen iaitu Izzue Islam, Aris Lufias dan Ameer.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 April 2016 @ 7:57 AM