SEKUMPULAN lelaki mengusung keranda askar Azerbaijan yang terbunuh dalam pertempuran dengan tentera Armenia di Nagorno Karabakh, kelmarin.
SEKUMPULAN lelaki mengusung keranda askar Azerbaijan yang terbunuh dalam pertempuran dengan tentera Armenia di Nagorno Karabakh, kelmarin.
Agensi

Yerevan: Pertempuran meletus buat hari kedua antara tentera Azerbaijan dan Armenia semalam, sehari selepas Russia dan barat merayu supaya sengketa bersenjata antara kedua-dua negara itu dihentikan.

Kira-kira 30 askar kedua-dua belah terbunuh dalam keganasan terburuk sejak beberapa tahun lalu berhubung pertikaian di rantau Nagorno Karabakh, kelmarin.

Kedua-dua pihak mengaku pertempuran berlaku sepanjang malam kelmarin dan berlanjutan sehingga semalam.

Kedua-duanya juga saling menuduh satu sama lain menggunakan senjata berat, termasuk kereta kebal dan meriam.

“Tentera Armenia mencabuli gencatan senjata 130 kali sepanjang malam kelmarin. Mereka menggunakan mortar, pelancar bom dan mesingan,” menurut kenyataan yang dikeluarkan kementerian pertahanan Azerbaijan.

Kementerian pertahanan Armenia pula mendakwa tentera Azerbaijan yang dulu melancarkan serangan.

“Mereka melancarkan serangan tetapi kami mematahkannya. Keadaan tegang, tetapi tidak mencemaskan,” kata jurucakap kementerian pertahanan Armenia, Artsrun Hovhannisyan.

Sementara itu, pemberontak yang disokong Armenia di Nagorno Karabakh berkata, tentera Azerbaijan mengebom kedudukan mereka awal semalam.

Pertempuran sengit menyebabkan sekurang-kurangnya 18 askar Armenia dan 12 tentera Azerbaijan terbunuh kelmarin.

Ia juga meragut dua nyawa orang awam di kedua-dua belah pihak.

Etnik Armenia yang disokong Yerevan menawan dan menguasai wilayah pergunungan Nagorno Karabakh dalam perang 1990-an yang menyebabkan kira-kira 30,000 orang terbunuh.

Wilayah itu secara rasmi masih diiktiraf sebagai milik Azerbaijan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 April 2016 @ 8:32 AM