Oleh Rosliza Mohamed


Kota Bharu: Polis Kelantan menahan lima lelaki termasuk dua beranak kerana terbabit dalam kegiatan pecah rumah dan penyimpanan senjata api dalam dua operasi berasingan minggu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan Asisten Komisioner Lai Yong Heng berkata, seorang lelaki berusia 41 tahun ditahan dalam operasi pada Khamis lalu, kerana disyaki menyimpan pistol dan raifal di dalam rumah di Kampung Padang Bemban di sini.

"Suspek ditahan pada jam 6.40 petang sempena Ops Api, selepas disyaki menyimpan senjata api sejak setahun lalu.

"Manakala empat lelaki termasuk dua beranak berusia antara 13 hingga 31 tahun ditahan di hadapan sebuah stesen minyak di Kampung Gelong Gajah, Machang, Rabu lalu.

"Mereka ditahan dalam sebuah kereta jenis Perodua Viva selepas didapati berada dalam berkeadaan mencurigakan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini, hari ini.

Lai berkata, siasatan mendapati suspek aktif melakukan kegiatan pecah rumah di tiga daerah, Machang, Tanah Merah dan Pasir Puteh.

Beliau percaya tangkapan itu mampu menyelesaikan beberapa kes pecah rumah di daerah berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Oktober 2014 @ 1:21 PM