Kesan darah dan parang digunakan suspek. FOTO ihsan PDRM
Nabihah Kamal

Hulu Selangor: Lelaki bersenjatakan parang dipercayai ahli kongsi gelap bertindak gila apabila mengejar tiga lelaki sehingga ke Balai Polis Serendah, di sini, malah cuba menyerang mereka di dalam balai polis malam tadi.

Dalam kejadian 10.50 malam itu, anggota polis pada mulanya melepaskan tembakan amaran, tetapi tidak diendahkan lelaki terbabit yang tetap mahu menyerang menyebabkan tembakan kedua dilepaskan dan mengenai lututnya.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan R Supramaniam berkata, terdahulu, lima sahabat yang melepak di kedai makan didatangi 20 lelaki yang menyerang mereka dengan menggunakan parang, topi keledar dan kayu hoki.

Katanya, 20 lelaki yang dipercayai anggota kongsi gelap itu menetak dua daripada lima sahabat itu.

"Tiga lelaki yang terselamat sempat melarikan diri ke Balai Polis Serendah untuk membuat laporan tetapi seorang daripada kongsi gelap yang bersenjatakan parang itu mengejar mereka sehingga ke balai polis.

"Polis meminta lelaki bersenjatakan parang itu beredar dan melepaskan satu das tembakan amaran tetapi dia enggan beredar.

"Suspek terus cuba menyerang menyebabkan polis melepaskan tembakan kedua dan mengenai lutut suspek. Suspek dihantar ke Hospital Selayang untuk rawatan," katanya.

Susulan kejadian itu, polis menahan 29 lelaki berusia antara 24 hingga 33 tahun untuk membantu siasatan dan turut dirampas sebilah parang yang digunakan untuk menyerang mangsa di Balai Polis Serendah itu.

Katanya, motif pergaduhan masih dalam siasatan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 April 2016 @ 7:59 PM