Paras air di Empangan Durian Tunggal berada pada paras amaran iaitu 60 peratus minggu lalu, berikutan tiada hujan sejak sebulan. - Foto BERNAMA
BERNAMA

Melaka: Kerajaan Negeri Melaka akan memohon kerajaan persekutuan melakukan pembenihan awan jika hujan tidak turun untuk menambah bekalan air di negeri itu, dalam tempoh 14 hari bermula hari ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron berkata ini berikutan satu daripada tiga empangan di Melaka iaitu Empangan Durian Tunggal di Alor Gajah berada pada tahap amaran iaitu 58 peratus setakat semalam.

Katanya tahap air dua lagi empangan utama iaitu Empangan Jus dan Asahan di Jasin masih baik iaitu masing-masing pada 77 peratus dan 89 peratus, namun kerajaan negeri terus memantau tahap empangan berkenaan.

"Saya mendapat maklumat ada beberapa kawasan di negeri ini menerima hujan tetapi ia tidak tertumpu di kawasan yang kita perlukan untuk meningkatkan paras air terutama di Empangan Durian Tunggal.

“Setakat ini, kita lihat ia masih belum menjejaskan bekalan air di Melaka namun jika tiada hujan, kita akan laksana pembenihan awan," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata pelaksanaan catuan air di negeri itu akan dilakukan sekiranya keadaan panas dan kering berterusan tanpa hujan dalam tempoh sebulan dari sekarang.

Justeru katanya rakyat di negeri ini digesa tidak membazir air dan menggunakan air terawat yang dibekalkan bagi kegunaan penting saja terutama untuk minuman dan memasak.

"Sekarang bukan masa untuk mencuci kereta atau menyiram pokok bunga. Jika benar-benar perlu, rakyat dinasihat tidak menggunakan air terawat yang dibekalkan bagi mengelak pembaziran," katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri juga sudah dan akan melaksanakan solah hajat secara berterusan sebagai usaha alternatif memohon hujan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 April 2016 @ 8:25 PM