HARRIF (dua kiri) memenangi peringkat keempat TOT manakala Aiman (tiga dari kiri) mengekalkan jersi pelumba terbaik ASEAN.
Azlan Muhammad Zain

Kuala Lumpur: Harrif Saleh mempamerkan kayuhan bertenaga untuk memenangi peringkat keempat Tour of Thailand (TOT) selepas turut menjuarai peringkat ketiga kelmarin.

Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG) itu sekali lagi menafikan usaha pelumba Thailand Thanuwat Sanikwathi yang terpaksa akur muncul naib juara buat kali kedua berturut-turut sekali gus memenangi perlumbaan sejauh 137 kilometer dari Bueng Kan ke Nong Khai dengan masa tiga jam dua minit 59 saat.

“Kejayaan peringkat ketiga semalam (kelmarin) memberikan motivasi besar kepada kami untuk terus melakar kejayaan pada peringkat keempat hari ini (semalam).

“Namun kami perlu bersedia untuk mengharungi peringkat kelima esok (hari ini) sejauh 237km sekiranya mahu terus melakar kejayaan. Apa saja boleh berlaku, kami perlu sentiasa berwaspada dengan percaturan pasukan lain,” kata Harrif.

Dua kemenangan peringkat turut membuka peluang buat Harrif memburu jersi Raja Pecut apabila hanya dibezakan lima mata dengan pendahulu dari Aisan Cycling Team Shiki Kuroeda.

Pelumba skuad negara Aiman Zarif semakin hampir memastikan gelaran pelumba terbaik ASEAN apabila berjaya mengekalkan kelebihan 2:03 saat berbanding pencabar terdekat.

“Saya perlu bersedia mental dan fizikal untuk menghadapi laluan terpanjang esok (hari ini). Saya pernah bersaing pada peringkat perlumbaan melebihi jarak 200km, jadi saya tidak berasa sebarang masalah akan timbul,” kata pelumba berusia 19 tahun itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 April 2016 @ 7:33 AM