PEMAIN Terengganu Muhd Amirul Syahmi (kiri) gagal mengawal kelincahan pemain FELDA Muhd Shukur Adan (tengah).
Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Terengganu dilemaskan di depan penyokong sendiri apabila tewas 1-4 kepada FELDA United pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam tadi.

Aksi panas dalam perlawanan itu menyaksikan tujuh kad kuning dilayangkan, empat kepada pemain pelawat manakala tiga kepada pemain tuan rumah.

Bagaimamapun berbekalkan semangat lebih 7,000 peminat setia skuad Peteh Terengganu Peteh menguasai babak awal permainan dengan dua percubaan menarik pada minit kelima dan kesembilan menerusi pemain muda Amirul Syahmi Ashari namun faktor kurang pengalaman membuatkan skuad itu kempunan mencari jaringan awal.

Selepas itu giliran penyerang import dari Kanada Issey Nakajima Farran memperoleh peluang keemasan untuk meletakkan pasukannya di depan namun rembatan kencangnya dalam kotak penalti sedikit tersasar atas palang gol.

Tersentak pasukan pelawat memperkemaskan asakan menerusi rangkaian penyerang yang diketuai bekas pemain Terengganu Francis Forkey Doe dan pemain itu nyaris memecah kebuntuan namun tolakan bola pemain itu dapat dibaca penjaga gol pada minit ke-17.

Selang seminit selepas itu pelawat sekali lagi mencemaskan benteng pasukan tuan rumah menerusi Hadin Azman namun rembatan pemain itu sedikit tersasar.

Usaha berterusan skuad bimbingan Mike Mulvey untuk memburu jaringan pembukaan akhirnya berhasil apabila Joseph Kalang Tie yang tidak dikawal bijak merembat bola terus menerjah jaring tuan rumah selepas bola terkena pemain pertahanan pelawat pada minit ke-24.

Selepas jaringan itu pasukan pelawat kendalian Irfan Bakti Abu Salim tidak perlu menunggu lama apabila menyamakan kedudukan menerusi tandukan Christie Jayaseelan.

Bersambung babak kedua skuad The Fighters menukar corak permainan yang lebih pantas dan hasilnya pelawat berjaya menambah jaringan menerusi gol sendiri pemain tuan rumah Yong Kuong Yong pada minit ke-66.

Pelawat yang dilihat lebih bersemangat mengatur gerakan demi gerakan akhirnya memperoleh jaringan ketiga menerusi Zah Rahan Krangar pada minit ke-70.

Anak buah Irfan Bakti terus menambah derita tuan rumah apabila Forkey Doe berjaya meledak jaringan keempat pada minit ke-77.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 April 2016 @ 7:37 AM