Amran (dua dari kiri) bersama pegawainya menunjukkan ganja yang dirampas. FOTO  Shazreen Zamzuri
Amran (dua dari kiri) bersama pegawainya menunjukkan ganja yang dirampas. FOTO Shazreen Zamzuri
Norashikin Leman

Shah Alam: Enam beranak antara 10 orang yang ditahan polis Jumaat lalu di Sungai Buloh dan Ara Damansara kerana terbabit dalam sindiket pengedaran ganja bernilai kira-kira RM286,300.

Selain itu, remaja lelaki berusia 16 tahun antara yang ditahan kerana terbabit menghantar bekalan dadah kepada pelanggan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor Asisten Komisioner Amran Ramli berkata, remaja lelaki itu dan rakannya berusia 22 tahun ditahan bersama bungkusan plastik berisi ganja seberat 3,122 gram.

Katanya, mereka ditahan pada 5 petang di kawasan Ara Damansara, Petaling Jaya, Jumaat lalu.

"Ketika ditahan, remaja itu mengaku sudah tidak bersekolah dan dalam perjalanan menghantar bekalan ganja kepada pelanggan dengan menggunakan motosikal.

"Susulan penahanan suspek, JSJN Selangor menyerbu satu keluarga di sebuah rumah di Kampung Baru Subang, Sungai Buloh pada 6.45 petang hari sama dan menahan empat lelaki serta dua wanita warga tempatan berusia 20 hingga 57 tahun," katanya pada sidang media, di sini, petang tadi.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut dalam rumah itu menemui 111 ketulan mampat dipercayai ganja seberat 117, 868 gram dipercayai untuk pasaran tempatan dengan nilai anggaran RM277, 500.

Amran berkata, soal siasat terhadap semua suspek, polis sekali lagi membuat serbuan di rumah di Saujana Utama, Sungai Buloh pada 7.15 malam dan menahan dua lelaki berusia 39 hingga 41 tahun.

Katanya, polis merampas ganja seberat 606 gram dengan nilai RM1,300 dan suspek utama berusia 39 tahun dipercayai bertindak sebagai dalang utama sindiket berkenaan.

"Semua suspek ditahan reman tujuh hari sehingga 8 April ini untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Merbahaya 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 April 2016 @ 6:33 PM