Keadaan jerebu sekitar Kota Kinabalu dengan IPU direkod sederhana pagi ini. - Foto MOHD ADAM ARININ
Keadaan jerebu sekitar Kota Kinabalu dengan IPU direkod sederhana pagi ini. - Foto MOHD ADAM ARININ
BERNAMA

Kota Belud: Semua 83 sekolah yang ditutup di Papar, Beaufort dan Kuala Penyu akibat jerebu akan dibuka semula esok susulan keadaan jerebu semakin reda.

Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Sabah Maimunah Suhaibul, berkata berdasarkan pemantauan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) selama dua hari, tahap jerebu menurun dengan kawasan Membakut di Beaufort mencatat IPU 95 setakat 10 pagi hari ini.

"Jerebu di tiga daerah terjejas (Beaufort, Papar dan Kuala Penyu) telah semakin reda dengan bacaan IPU menurun di bawah 200, tahap yang memerlukan sekolah ditutup, bermakna jerebu tidak lagi menyebabkan masalah serius.

"Semua sekolah boleh dibuka semula bermula esok berikutan jarak ketampakan sudah semakin jelas. Kami sudah memberi notis makluman mengenai pembukaan sekolah ini kepada Kementerian Pendidikan.

“Saya menggesa ibu bapa menghantar anak mereka ke sekolah secepat mungkin bagi memastikan mereka dapat meneruskan pembelajaran seperti biasa," katanya.

Menurut Maimunah, jika jerebu akibat kebakaran berdekatan menjejaskan keadaan di sekolah, pentadbiran sekolah boleh memaklumkan kepada Jabatan Pendidikan Negeri dan pegawai pendidikan daerah masing-masing untuk memohon sekolah ditutup.

"Saya tidak menggalakkan aktiviti sekolah di luar bilik darjah dilakukan di padang untuk mencegah pelajar mengalami strok haba dan cuba adakan aktiviti di kawasan teduh,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 April 2016 @ 8:03 PM