MCILROY
MCILROY
AFP

Augusta, AS: Rory McIlroy melaungkan amaran awal dia akan melengkapkan karier Grand Slam pada kejohanan Masters Amerika Syarikat (AS) di Augusta National hujung minggu ini selepas menyempurnakan sesi latihan pertamanya.

Juara empat gelaran utama dari Ireland Utara itu membenam hole-in-one pada lubang ke-16 par-tiga sekali gus menerima tepukan paling gemuruh daripada penonton, lebih kuat berbanding kejohanan sebenar.

“Saya tidak pernah mendengar sorakan sekuat itu ketika sesi latihan,” kata McIlroy.

Pemain berusia 26 tahun itu menggunakan 7-iron untuk memukul masuk dari jarak 170 ela dan memastikan dia tampil lebih bergaya berbanding rakan sepermainan Chris Wood dari England.

McIlroy cuba memenangi kejuaraan Masters AS untuk muncul pemain keenam melengkapkan karier Grand Slam mengiringi Jack Nicklaus, Tiger Woods, Gary Player, Ben Hogan dan Gene Sarazen.

Dia menjuarai Terbuka AS 2011, Kejohanan PGA AS 2012 dan 2014 serta Terbuka British 2014, namun semuanya itu hadir selepas dia mendahului Masters 2011 tetapi mensia-siakan peluang menyarung jaket hijau dengan persembahan buruk pada sembilan lubang kedua pada hari terakhir.

“Apa yang hebat mengenai Augusta National adalah kami mempunyai drama yang bagus di sembilan lubang kedua pada Ahad,” kata juara Terbuka British dan juara Masters 2007 Zach Johnson.

“Ada aura mengenainya. Sukar untuk meramal. Ia sesuatu yang sukar dijelaskan. Jika ada ramai pemain dalam kelompok pendahulu, anda berasakan akan ada sesuatu yang berlaku.

“Apabila anda mempunyai pemain terbaik dunia bermain di sembilan lubang kedua di Augusta pada Ahad, yang terbaik akan muncul. Saya tidak pasti tapi ia akan menampilkan yang terbaik dan kadangkala terburuk daripada setiap pemain.”

Relaks dan fokus bagi setiap pukulan dan harapan meraih kejuaraan boleh hilang begitu saja seperti yang amat difahami McIlroy.

“Jika anda tidak bersiap sedia secara mental, faktor kedudukan pin dan angin perlu dipertimbangkan dan anda perlu memukul ke arah yang tepat jika tidak ia memakan diri,” ujar Johnson.

“Adakah saya berasa selesa? Saya masih belum selesa. Ada beberapa perkara yang terlalu sukar.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 April 2016 @ 7:15 AM