Pemain TFC II Takhiyuddin (tengah) diasak dua pemain Kelantan.
Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Terengganu FC II (TFC II) berjaya merakam kemenangan pertama selepas enam perlawanan apabila menumpaskan pasukan jiran Kelantan 4-2 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam tadi.

TFC II membuka tirai jaringan melalui sepakan percuma yang diambil pemain tengah Dilshod Sharifudinov pada minit ke-19 dan gagal diselamatkan penjaga gol pelawat Khairul Fahmi Che Mat.

Pada minit ke-27, penjaga gol TFC II Wan Azraie Wan Teh menghadiahkan gol penyamaan pelawat apabila gagal menampan hantaran rakan sepasukan Kamal Azizi.

The Titans yang memburu kemenangan pertama sejak awal musim, mula mencipta gerakan berbahaya namun kerap dinafikan pertahanan pelawat.

Usaha berterusan pemain tuan rumah untuk menambah jaringan kedua berhasil apabila Patrick Dos Santos Cruz mudah menolak masuk bola muntah hasil rembatan rakan sepasukan Makan Konate pada minit ke-38.

Selang seminit kemudian, skuad Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PQPTRW) kembali mengikat kedudukan menerusi pemain import Blazhe Ilioski.

Bersambung babak kedua, The Titans kembali mengasak dan memperoleh gol ketiga menerusi tandukan cantik Konate hasil hantaran pemain sayap Ahmad Takhiyuddin.

Selepas jaringan itu barisan pemain TFC II kian bersemangat untuk menambah jaringan dan pemain dari Uzbekistan Dilshod menanduk gol kedua peribadi yang juga keempat buat tuan rumah hasil tendangan sudut Shamsul Kamal Mohamad pada minit ke-71.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 April 2016 @ 7:36 AM