Motosikal dan kereta yang terbabit kemalangan di KM 7.5 Jalan Machang-Pasir Puteh dekat UiTM, pagi tadi.
Siti Nadzirah Che Mud

Machang: Pelajar tingkatan dua parah, rakannya cedera selepas motosikal ditunggang mereka bertembung dengan kereta di KM 7.5 Jalan Machang-Pasir Puteh dekat UiTM, di sini kira-kira 7.20 pagi tadi.

Kejadian berlaku apabila motosikal ditunggang Syarmimiey Syazwani Mohd Nor Ashikin,14, dan Nur Shahirah Mohd Rashid, 14, (pembonceng) dipercayai hilang kawalan selepas bergesel dengan motosikal lain.

Ketua Polis Daerah Machang Deputi Superintendan Dzulkifli Abd Ghani berkata, akibatnya motosikal mangsa terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta Proton Saga FLX dipandu seorang guru wanita.

"Guru itu dalam perjalanan dari Kampung Sungai Mas ke Sekolah Kebangsaan Dewan Besar, Labok.

"Mangsa, Syarmimiey Syazwani parah di perut dan kepala, manakala Nur Shahirah cedera ringan," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, kedua-duanya dihantar ke Hospital Machang, di sini untuk rawatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 April 2016 @ 5:59 PM