Kuala Lumpur: Pameran Halal Antarabangsa Malaysia Ke-13 (MIHAS 2016) mencatat jumlah jualan RM1.14 bilion, meningkat empat peratus berbanding tahun lalu sebanyak RM1.1 bilion.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) Datuk Dzulkifli Mahmud berkata, jualan itu dijana daripada dua komponen utama acara iaitu Program Penyumberan Antarabangsa (INSP) dan pameran perdagangan selama empat hari.

Beliau berkata, mesyuarat perniagaan bersemuka INSP pada 29 Mac menarik 581 pembeli asing daripada 391 syarikat dari 40 negara yang menyertai 4,372 mesyuarat dengan 619 pengeksport Malaysia.

Sektor makanan dan minuman mencatat jualan tertinggi pada INSP dengan RM365.12 juta iaitu 76.3 peratus daripada jumlah jualan manakala sektor produk bukan makanan terdiri daripada penjagaan kesihatan, farmaseutikal dan kosmetik mencatat jualan sebanyak RM108.99 juta (22.8 peratus).

“Produk utama yang diperoleh adalah kopi, teh dan koko, makanan ringan, kosmetik, produk kelapa, kuih-muih, coklat dan gula-gula dengan China, United Kingdom, Taiwan, Jepun dan Korea menjadi negara yang menjana jualan tertinggi.

“Bagi pameran yang diadakan dari 30 Mac hingga 2 April, kluster minuman mencatat jualan tertinggi sebanyak RM132.24 juta iaitu 21.5 peratus, diikuti produk diproses dan sedia untuk dimakan (RM82.91 juta) serta produk herba dan penjagaan kesihatan (RM75.52 juta), katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Peserta pameran dari Malaysia menjana jualan sebanyak RM552.75 juta diikuti dari Indonesia (RM30.34 juta), Taiwan (RM26.68 juta), Thailand (RM24.10 juta) dan China (RM14.14 juta).

Dzulkifli berkata, MATRADE sebagai agensi mempromosi perdagangan negara komited untuk mempromosikan perkhidmatan dan produk halal Malaysia dalam pasaran global.

“Dengan minat yang tinggi dari negara Islam dan bukan Islam dalam industri halal, sudah tiba masanya bagi syarikat Malaysia untuk meluaskan prospek mereka dan memanfaatkan status Malaysia sebagai perintis dalam ekonomi halal melalui acara perdagangan seperti MIHAS,” katanya.

MIHAS 2016 berjaya menarik 316 syarikat Malaysia dan 227 firma antarabangsa dari 29 negara dengan China, Thailand, Indonesia, Taiwan dan Afrika Selatan mempunyai jumlah peserta pameran tertinggi.

Pameran itu menerima 22,027 jumlah pengunjung termasuk daripada syarikat tempatan dan antarabangsa, persatuan dan delegasi asing. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 April 2016 @ 7:18 AM