Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Tonggak pertahanan Selangor Raimi Nor (gambar) pastinya tidak tidur lena selepas pengendali pasukan Zainal Abidin Hassan mengakui tindakannya menjatuhkan penyerang import Kedah, Kahe sebagai punca Merah Kuning sekadar meraih satu mata.

“Memang gol penyamaan daripada sepakan penalti itu menjadi punca kami gagal mengutip mata penuh. Sepatutnya pemain perlu berhati-hati dalam kotak penalti terutama ketika melakukan asakan,” katanya selepas menyaksikan tuan tumah diikat 2-2 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, kelmarin.

“Bagaimanapun kita bertahan dengan baik dan tidak memberi laluan mudah kepada lawan untuk mencipta peluang.

“Cuma kesilapan memberikan penalti itu menyebabkan mereka dapat menyamakan kedudukan,” katanya.

Mimpi ngeri Raimi bermula pada minit ke-67 apabila tindakannya menjatuhkan Kahe dalam kotak penalti memberi peluang buat anak buah Tan Cheng Hoe mengikat kedudukan selepas ketinggalan 2-1 di babak pertama.

Bukan sahaja skuad Helang Merah dihadiahkan sepakan penalti malah Raimi turut dilayangkan kad kuning atas kesalahannya itu.

Sandro Da Silva yang ditugaskan mengambil sepakan itu mudah menewaskan penjaga gol Selangor Norazlan Razali sekali gus mengikat kembali kedudukan 2-2 yang kekal hingga tamat masa sebenar.

Jelas Zainal lagi, pemainnya masih mempunyai tabiat ‘buruk’ iaitu gemar melepaskan gol mudah dan terpaksa bangkit memburu penyamaan.

“Ia seperti sudah menjadi tabiat. Lawan menjaringkan gol awal dan kami mengejar mereka. Tabiat ini harus dibuang segera,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 April 2016 @ 7:47 AM