Nor Azura Abdul Jalil


Ampang: Suri rumah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas 30 pertuduhan menipu wanita bagi menyediakan perkhidmatan pakej umrah untuk 55 peserta membabitkan kerugian RM166,300, Oktober tahun lalu.

Rozaimenurhanti Ahmad Azmi, 31, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di tiga mahkamah berasingan masing-masing di hadapan Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh, Haslinda A Raof dan Mohamad Firdaus Sadina Ali.

Berdasarkan kesemua pertuduhan, wanita yang mengandung tujuh bulan itu didakwa telah menipu Azrina Fakhrudin, 44, untuk mempercayai dia boleh menyediakan satu perkhidmatan pakej umrah untuk 55 peserta sehingga mangsa menyediakan wang tunai secara berperingkat kepada tertuduh dari 22 Oktober 2015 hingga 21 Mac lalu. 

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sekitar Ampang termasuk di Taman Nirwana, Taman Dagang, Ampang Point dan Kampung Pandan Dalam.

Dakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM60,000 untuk kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin sebelum menetapkan 26 Mei ini untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 April 2016 @ 1:49 PM
TERTUDUH mengaku tidak bersalah. FOTO Syamil Firdaus