ROKOK seludup yang berjaya dirampas PPM Semporna di perairan Semporna. FOTO Pasukan Polis Marin
Norasikin Daineh


Semporna: Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna merampas 2,900 bungkus rokok seludup dalam dua operasi berasingan di perairan Semporna, semalam.

Komander PPM Wilayah 4 Asisten Komisioner, Mohamad Madun berkata, rampasan pertama dilakukan pada 8.30 pagi, €Žketika sepasukan anggotanya menjalankan tugas khas di perairan Labuan Haji dan terserempak dengan bot dalam keadaan mencurigakan.

"ŽBagaimanapun, kehadiran bot pasukan disedari juragan bot terbabit sebelum bertindak terjun ke laut dan melarikan diri ke perkampungan berhampiran.

“Pemeriksaan lanjut terhadap bot terbabit menemui satu karung berisi 400 bungkus rokok dipercayai diseludup dari negara jiran," katanya ketika dihubungi hari ini.

Manakala dalam tangkapan kedua pada 9 malam di perairan Tanjung Manimpa, Mohamad berkata, pasukannya terserempak dengan bot yang dilihat dalam keadaan mencurigakan.

"Sebaik bot PPM cuba mendekati bot berkenaan, juragan bertindak terjun ke laut dan meninggalkan 2,500 bungkus rokok di dalam bot terbabit," katanya.

Menurut Mohamad, semua rokok yang bernilai hampir RM57,000 itu dirampas dan dibawa ke Pangkalan Marin Semporna untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 April 2016 @ 1:57 PM
Skip this ad x