Oleh Efindi Badarudin


Pengalaman melihat lebih dekat kehidupan panda yang menjadi simbol kebanggaan China pasti membuatkan diri beruntung.

Kali pertama mengunjungi Pusat Kajian dan Ternakan Panda di Chengdu, China memberi pengalaman luas kepada pengunjung untuk mengetahui lebih dekat mengenai haiwan berkenaan.

Pusat Kajian dan Ternakan Panda atau dikenali sebagai perkampungan panda itu dilengkapi pel­bagai kemudahan khusus untuk memelihara dan menjaga panda daripada pupus.

Pengunjung juga dapat melihat habitat panda selain menyaksikan kehidupan harian haiwan itu bermula seawal pagi hingga ke petang.

Kerajaan China sangat menitik berat hal ehwal haiwan yang menjadi kebanggaan negara itu kerana usaha membiak dan kajian berterusan dijalankan bagi mengelak panda pupus.

Di perkampungan panda,v tanaman buluh yang menjadi makanan utama haiwan itu sentiasa dijaga baik dan pihak pengurusan turut memastikan setiap panda di situ makan dan diberi rawatan khusus bagi mengelak masalah kesihatan.

Chengdu yang terletak di Wilayah Sichuan sebenarnya mempu­nyai banyak lagi tempat menarik dan pada masa ini pihak berkuasa wilayah berkenaan mempergiatkan usaha menarik lebih ramai pelancong mengunjungi wilayah itu.

Lebih terkenal dengan nama kota santai kerana penduduknya seramai kira-kira 12 juta tidak melakukan aktiviti sibuk seperti di kota besar lain di negara itu.

Sichuan yang lebih terkenal de­ngan hasil pengeluaran aluminium serta bahan galian turut menjadi pengeluar buah-buahan dan mi­nyak sayuran untuk dijadikan bahan perubatan herba China.

Antara tempat yang patut dikunjungi ketika berada di Sichuan ialah patung Buddha terbesar di Leshan. Patung Buddha terbesar di bahagian gunung itu terletak di pertembu­ngan tiga sungai iaitu Sungai Min, Dadu dan Qingyi yang bersatu mejadi sebatang sungai.

Pengunjung dapat melihat keindahan sungai dengan menaiki bot disediakan untuk mengelilingi kawasan sekitar sambil menyaksikan pertembungan arus tiga su­ngai.

Tidak lengkap apabila pe­ngunjung tidak menerokai Gunung Emei setinggi kira-kira 3,099 meter. Pengalaman berada di Gunung Emei juga sungguh menarik apabila pengunjung perlu mendaki melalui anak tangga sejauh kira-kira dua kilometer untuk menaiki kereta kabel.

Kereta kabel yang boleh memuat­kan kira-kira 100 penumpang itu turut menjadi pengalaman terbaik kepada pengunjung kerana dalam keadaan suhu dingin, mereka dapat melihat keindahan gunung yang dipenuhi kabus.

Sebaik tiba di atas gunung, keadaan cuaca dingin berubah dan tidak sesejuk ketika berada di kaki gunung. Walaupun dapat melihat matahari, tetapi ada seketika salji turut mula turun dan memenuhi kawasan pergunungan itu.

Di atas gunung itu dibina tokong pada 1996 yang dikenali sebagai Golden Summit yang menjadi pusat tarikan pelancong.

Selesai berada di puncak gunung, pengunjung juga boleh melawat empangan di Dujiangyan. Empa­ngan ini dibina untuk menghalang banjir menggunakan sistem terbaik itu mengawal kelajuan air dengan membina lencongan supaya pengaliran air dapat diperlahankan serta dialirkan ke kawasan lain agar tidak menjejaskan penduduk.

Di kawasan empangan dibina tempat pelancongan dan pengalaman terbaik ialah melalui titi gantung dan jika berada di atas titi yang bergoyang itu, anda akan terasa kecut perut apabila melihat ke bawah. Pengalaman ini sangat menarik dalam keadaan cuaca sejuk, anda boleh melihat air empangan mengalir laju selain deruan air.

Laluan masuk ke empangan ini juga disediakan pelbagai premis perniagaan selain pertunjukan kebudayaan. Banyak gerai makanan diusahakan peniaga Muslim China.

Penulis berkunjung ke Chengdu, baru-baru ini bersama rombo­ngan tajaan syarikat pengedar barangan elektrik Senheng.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 November 2014 @ 5:00 AM