AKID bijak uruskan kerjaya pada usia muda.
ANTARA selebriti yang menggayakan seluar palazo Akid.
AKID ketika menjual Kerepek Abang Sado.
Siti Nadirah Hafidzin
siti_nadirah@hmetro.com.my


Pertama kali bersua, terdetik di hati sememangnya anak muda kelahiran Kuala Lumpur ini mempunyai karisma luar biasa selain semangat tekad tidak mahu mempersia-siakan usia mudanya tanpa melakukan perkara menguntungkan terutama yang memberi pulangan lumayan.

Mahu berjaya membina empayar perniagaan dan membina nama atas usahanya sendiri menjadi impian serta matlamat hidupnya walaupun baru menginjak usia 26 tahun.

Sememangnya minat mendalam dalam bidang perniagaan menjadi pendorong utama kepada anak tunggal dalam keluarga ini untuk terus gigih meneruskan apa yang diusahakan.

Ternyata, Ammar Akid Rosli, 26, anak muda yang wajar dicontohi bukan saja kerana usaha gigihnya sehingga mampu memiliki sebuah kedai jahit dan empat pekerja malah matlamat hidupnya yang sentiasa mahu berjaya tanpa menoleh ke belakang.

Menurut Ammar Akid yang lebih mesra dengan panggilan Akid, selepas tamat pengajian di peringkat ijazah sarjana muda di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, dia memulakan kerjaya dalam industri media selama hampir dua tahun.

“Ketika itu, saya semakin sedar minat dan semangat yang ada pada diri saya sememangnya dalam bidang perniagaan menyebabkan saya sentiasa berfikir jenis perniagaan yang sesuai dijalankan.

“Memandangkan saya bekerja, saya perlu mencari jenis perniagaan yang sesuai dengan saya dan boleh dijalankan secara sampingan tanpa mengganggu tugasan harian saya ketika itu,” katanya.

Akid berkata, kesibukan harian disebabkan mempunyai waktu kerja yang agak terikat tidak menjadi penghalang kepada dirinya untuk meneruskan impiannya memiliki jenama sendiri.

Kerepek Abang Sado

Semuanya bermula dengan modal hanya RM117 sebelum Akid nekad menjual kerepek ubi pedas yang dinamakan ‘Kerepek Abang Sado’ yang pernah viral meluas tahun lalu.

“Dengan modal yang kecil, saya perlu bijak dan serius untuk berniaga menyebabkan saya cuba untuk mencari kelainan walaupun hanya dengan menjual kerepek ubi pedas.

“Selepas siap membungkus sendiri kerepek ubi pedas yang saya namakan Kerepek Abang Sado, saya mula menjualnya kepada rakan sepejabat dengan harga berpatutan,” katanya.

Menurut Akid, rasa malu dan tidak yakin perlu dielakkan sama sekali sekiranya mahu berjaya dalam bidang perniagaan terutama pada usia muda.

“Saya sedikit pun tidak rasa malu untuk menjual kerepek kepada rakan sepejabat, rakan terdekat dan kenalan ketika itu.

“Alhamdulillah, sambutan diterima amat menggalakkan dan saya tidak menyangka Kerepek Abang Sado menjadi satu fenomena luar jangkaan kerana mempunyai ramai pelanggan tetap,”ujarnya.

Tambah Akid, dia meneruskan perniagaan itu dalam satu tempoh yang agak lama terutama setiap kali menerima tempahan pelanggan.

“Penjualan kerepak ini walaupun dipandang agak lucu, memberi pulangan lumayan kepada saya kerana saya mampu mengumpul wang simpanan RM12,000 dalam tempoh hanya tiga bulan.

“Dalam tempoh itu, saya menyimpan semua hasil jualan kepada ibu saya bagi memastikan wang itu terkumpul dan tidak habis begitu saja,” katanya.

Menurutnya, berkat pengumpulan hasil jualan kerepek ubinya itu, dia mampu meneruskan hasrat dan impiannya untuk mengusahakan sebuah perniagaan berasaskan fesyen.

Rekaan sendiri seluar palazo

Menggunakan modal RM12,000 hasil tabungannya itu membolehkan Ammar Akid menarik nafas lega dan mampu mengembangkan hasratnya untuk mempunyai jenama sendiri tanpa membuat sebarang pinjaman untuk memulakan perniagaan.

“Saya tidak mahu meminjam kerana bimbang risiko tidak dapat membayar semula menyebabkan saya berusaha gigih menyimpan semua keuntungan penjualan kerepek.

“Saya memilih sesuatu produk yang diperlukan semua golongan usia dan bermula dari situ tercetusnya idea menjual seluar palazo atas jenama Akid.

“Walaupun bidang fesyen terutama seluar palazo ini sering dikaitkan dengan wanita, saya mahu mengubah persepsi itu dan cuba mempunyai jenama yang dikenali ramai dengan menjual palazo,” katanya.

Akid berkata, tanpa membuang masa dia terus fokus untuk menceburi diri dalam bidang perniagaan fesyen sehingga dia nekad untuk menjual seluar palazo hasil rekaannya sendiri.

“Idea ini datang sendiri dan saya mahu menyediakan satu pilihan fesyen yang terkini, selesa dan sesuai digayakan semua lapisan usia.

“Disebabkan itu, seluar palazo saya ini ‘mesra pengguna’ kerana bukan saja wanita bertubuh langsing sesuai menggayakannya namun ia sesuai untuk wanita yang sudah berstatus ibu,” ujarnya.

Menurut Akid, dia melakukan semua proses penghasilan seluar palazo atas jenamanya sendiri itu bermula daripada proses pemilihan dan pembelian material, membuat rekaan, menghantar rekaan kepada tukang jahit, pembungkusan dan menghantar kepada pelanggan.

“Bukan tidak percaya kepada orang lain namun saya puas melakukan semuanya sendiri selain mahu pelanggan berpuas hati dengan apa yang mereka beli.

“Proses itu masih berterusan hingga kini kerana walaupun sudah mempunyai kedai sendiri di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur, saya masih melakukan proses yang sama kerana mahu mengekalkan kepuasan pelanggan,” katanya.

Pegang prinsip disiplin untuk berjaya

Sentiasa mengutamakan disiplin diri dalam apa juga perkara dilakukannya, membolehkan Akid dapat menguruskan perniagaan diusahakan dengan lancar.

“Saya sama juga dengan anak muda seusia saya namun saya sentiasa amalkan untuk tidak menyambung semula tidur selepas solat Subuh dan tidur tidak terlalu lewat bagi memastikan pembahagian masa saya teratur.

“Di samping itu, saya mahu buktikan kepada kedua-dua ibu bapa saya dan rakan, apa yang saya lakukan kini bakal membuahkan hasil lumayan,” katanya.

Akid berkata, selepas yakin dengan apa yang dilakukannya, dia kini sudah membuat keputusan untuk menumpukan sepenuh masa dan perhantiannya kepada perniagaan dijalankan.

“Kini, saya tidak lagi terikat dengan mana-mana pekerjaan kerana inilah kerjaya utama saya dan disebabkan itu saya perlu lebih fokus dan merancang sesuatu dengan baik.

“Saya tidak mahu apa yang saya usahakan kini terhenti separuh jalan kerana saya yakin mampu berdiri setanding dengan jenama lain suatu hari nanti,” ujarnya.

Menurutnya, dia hanya memberi fokus kepada penghasilan seluar palazo orkid yang boleh dilihat di laman Instagram @ammarakidkl buat masa kini.

Berkat usaha tanpa kenal putus asa membolehkan Akid kini mampu tersenyum walaupun terlalu awal untuk berpuas hati.

Siapa sangka anak muda berusia 26 tahun itu kini mampu meraih pendapatan lumayan mencecah RM15,000 setiap bulan.

“Sambutan dan maklum balas diterima amat baik. Saya pentingkan kepuasan pelanggan dan saya tidak mahu menyediakan seluar yang hanya boleh digayakan wanita bertubuh langsing,” katanya.

Menurut Akid, pelbagai perancangan sudah dilakukan untuk mengembangkan jenamanya kerana dia sentiasa berpegang perancangan rapi mampu membantu melancarkan proses perniagaan.

“Saya bukan berasal daripada keluarga berniaga namun itu sedikit pun tidak menjadi penghalang buat saya.

Kini selepas melangkah dalam bidang ini, saya semakin puas dan mempelajari pelbagai perkara terutama membabitkan selok-belok perniagaan.

“Generasi muda seperti saya perlu merebut peluang terhidang dan mencari sesuatu yang sesuai dengan diri selain menjual produk yang dikehendaki pelanggan untuk memastikan pendapatan diraih setiap bulan bertambah dan tidak statik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 April 2016 @ 11:32 AM