X

Soalan: Kereta saya mengalami masalah kepanasan melampau ketika memandunya baru-baru ini. Bagaimanapun, saya mendapati bahagian radiator dan komponen lain tiada kebocoran.

Selepas dibawa ke bengkel, masalah itu sebenarnya berpunca daripada termostat. Soalannya, kenapa masalah itu boleh berlaku kerana saya menukar komponen berkenaan 10 bulan lalu.

Selain itu, saya tidak menggunakan cecair tambahan penyejuk kerana setiap enam bulan akan mencuci radiator di bengkel. Kini saya bimbang memandu kereta ini untuk perjalanan jauh.

SAMAD

Kuala Lumpur

Jawapan: Amalan membersih tangki radiator adalah baik kerana ia membantu mengekalkan kebersihan sistem penyejukan kereta anda.

Namun adalah lebih baik untuk menggunakan cecair tambahan penyejuk yang mengandungi bahan pembersih dan anti karat bagi melindungi bahagian sistem penyejukan enjin.

Air yang bersentuhan dengan bahagian logam seperti besi dan aluminium akan mengoksidakan permukaan itu dan menghasilkan karat.

Berikutan itu, menggunakan bahan tambahan anti karat dalam cecair penyejukan adalah sangat penting.

Termostat turut diperbuat daripada logam dan tidak mustahil jika injapnya tersangkut atau rosak kerana bahan mendapan dari karat.

Bagi permukaan logam yang tidak dilindungi bahan anti karat, jangka masa enam bulan adalah mencukupi untuk merosakkannya.

Selain itu, pastikan termostat yang ditukar adalah alat gantian tulen.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 November 2014 @ 5:00 AM