Kakitangan Jabatan Pelesenan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) memeriksa tong kicap sebuah kilang memproses kicap di Jalan C Y Choy, Georgetown. - Foto IHSAN PEMBACA
Rudy Syareme Sheriffudin


Georgetown: Kilang kicap di Jalan CY Choy berhampiran Lebuh Noordin di sini, diarah tutup dua minggu oleh Jabatan Kesihatan negeri selepas penemuan najis tikus, kucing dan lipas di bawah timbunan tong kicap di situ.

Dalam operasi kira-kira jam 9.30 pagi tadi, sepasukan pegawai dan anggota Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Jabatan Kesihatan Negeri Daerah Timur Laut serta Jabatan Alam Sekitar Negeri menyerbu premis berkenaan selepas menerima aduan mengenai asap tebal dikeluarkan kilang itu.

Ahli Majlis MBPP, Oh Ah Teong berkata, dalam pemeriksaan itu pihaknya mendapati kakitangan kilang itu menggunakan kayu untuk memasak bagi menjimatkan kos menyebabkan asap tebal sehingga menjejaskan penduduk berdekatan.

“Kami juga dikejutkan dengan penemuan najis kucing, lipas dan tikus di kawasan berhampiran tong kicap selain bungkusan garam dalam keadaan kotor," katanya di sini.

Menurut Oh, pihaknya terpaksa mengambil tindakan tegas mengarahkan kilang berkenaan ditutup dua minggu bagi kerja pembersihan dan akan memantau serta memeriksa kembali kilang berkenaan selepas tempoh itu.

Beliau berkata, kaedah penyimpanan makanan yang teratur tidak dilakukan selain penggunaan bahan atau bekas memproses makanan tidak memuaskan dan kotor, antara punca kehadiran haiwan perosak seperti lipas dan tikus.

Menurutnya, selain arahan tutup, MBPP mengenakan kompoun RM100 serta merta kepada pemilik kilang berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 April 2016 @ 6:27 PM