STAIL tradisional digabungkan dengan cita rasa terkini.
STAIL tradisional digabungkan dengan cita rasa terkini.
Shuhada Mansor


Kita pastinya mahukan kelainan dalam penampilan untuk menghadiri majlis. Sama ada acara formal atau apa saja, pilihan remaja kini mahukan pakaian yang mempunyai konsep tersendiri.

Pereka fesyen muda, Farah Salleh berkongsi karyanya dalam penghasilan serta stail busana motif tenun moden kontemporari.

Dengan menyuntik kelainan dalam fesyen moden tradisional, gabungan konsep ini memberikan nafas baru elemen tenun yang sekian lama menjadi pilihan pemakaian kebudayaan.

PILIHAN WARNA SESUAI ACARA

Berkongsi pengetahuan dalam padanan pakaian motif tenun moden ini, Farah berkata, warna pastel iaitu warna lembut seperti hijau pucuk pisang, merah jambu amat sesuai dikenakan untuk acara di waktu siang.

Pilihan potongan ringkas yang boleh menonjolkan ciri elegan untuk majlis malam hari. Warna gelap dengan gabungan benang tenun kontra antara pilihan tepat yang mampu menonjolkan personaliti anda.

MUDAH SUAI PADAN

Jika baju bermotif tenun, anda boleh padankan bahagian bawah sama ada kain warna kosong atau seluar pastel bersesuaian dengan baju. Konsep suai padan menjadi satu daripada tarikan gadis muda memilih gaya ini.

Berkongsi tips padanan, Farah berkata, apa saja aksesori boleh dikenakan bersama gaya ini namun ia jangan terlalu sarat hingga ‘mengganggu’ penampilan keseluruhan.

Busana tenun moden ala tradisional diminimumkan dengan potongan ringkas memudahkan pemakaian generasi muda kini yang lebih sukakan konsep minimum. Justeru, tidak hairan apabila makin ramai pereka fesyen muda berjuang mengetengahkan konsep ini.

Ubah gaya biasa dengan mengangkat kembali stail tenun peninggalan budaya lama cara tersendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 April 2016 @ 5:01 AM