PELAJAR mendapatkan sumbangan SKP.
Nurul Husna Mahmud


Kos sara hidup tinggi tidak sahaja dirasa individu sudah berkeluarga malah penuntut universiti juga terkesan. Berbanding dulu, penuntut universiti mendapat pembiayaan penuh baik pinjaman mahupun biasiswa tetapi kini, situasi sudah berbeza.

Tidak semua datang daripada keluarga sederhana terdaya ‘survive’ sehingga penghujung semester. Ini menyebabkan ada dalam kalangan mereka terpaksa ikat perut dan itu dikongsi pengasas Student Kitchen Project (SKP), Che Ku Nurul Hidayah Che Ku Adnan.

Katanya, atas dasar prihatin, dia mula menggerakkan SKP bersama rakan lain membantu komuniti kampus Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UAIM) yang memerlukan, menerusi sumbangan makanan percuma.

Bergerak atas pengalaman sendiri

Katanya, bertitik pengalaman sendiri dia serta rakan sekampus berhubung menerusi Intranet universiti, lalu timbul inisiatif mewujudkan SKP.

“Saya mula sejak tahun lalu. Waktu itu saya terpaksa ikat perut kerana tiada baki duit dalam akaun.

“Dalam tangan ketika itu hanya RM20 dan saya luahkan perkara itu kepada rakan dalam satu laman sosial kampus. Tidak sangka ramai membalas status itu dan saya cadang kami kumpul duit untuk ‘top-up’ membeli makanan.

“Tidak sangka berjaya mengumpul sumbangan beberapa ratus ringgit. Kemudian kami beli roti bersama sapuan sesuai lalu diletakkan di marhallah (asrama) yang ada untuk dikongsi bersama pelajar.

“Kami akan tinggalkan mesej mengenai makanan diwakafkan menerusi nota di lokasi terbabit atau di laman sosial.

“Saya tidak sangka cadangan saya untuk mula gerakkan usaha bagi membantu komuniti kampus kesempitan ketika itu berjaya mendapat perhatian lebih 20 pelajar menyumbang,” katanya.

2 kali seminggu untuk 200 pelajar

Tambah Hidayah lagi, SKP tidak berkait dengan mana-mana kelab mahupun persatuan.

Ia lebih kepada inisiatif dia serta rakan lain bergerak bebas dan tiada dana mahupun penyumbang tetap kepada usaha itu.

“Kami terima sumbangan, baik daripada segi wang ringgit serta sumbangan makanan. Ketika ini pengagihan makanan hanya dilakukan di satu lokasi iaitu di masjid UIAMkerana itu lebih sistematik selain strategik.

“Dengan sumbangan yang ada kami boleh menganjurkan dua kali seminggu pengagihan makanan kepada kira-kira 200 pelajar memerlukan,” katanya serta menambah, ketika ini kumpulan sukarelawan ini dipanggil The Team.

Menyemai semangat sukarelawan

Pengarah Operasi SKP yang juga sukarelawan, Zuhdi Farhan berkata, pembabitan dalam SKP membuka mata terhadap pentingnya peranan komuniti membantu mereka memerlukan terutama dalam kalangan pelajar.

“Komitmen dalam SKP membentuk semangat ‘memberi’ pada kadar mampu. Jika tidak berkeupayaan dalam bentuk wang ringgit, mereka boleh menyumbang dalam bentuk tenaga.

“Sebagai contoh, sukarelawan pada setiap minggu turun membuat kerja amal tanpa dibayar. Rasa puas hati apabila orang berterima kasih dan menghargai usaha kami,” katanya.

Cabaran sukarelawan

Kata Zuhdi lagi, biarpun ia kerja amal dan kebajikan, sukarelawan perlu bersedia daripada segi mental dan fizikal.

“Meskipun SKP bertujuan membantu pelajar memerlukan, tidak semua maklum balas kami terima positif.

“Ada segelintir pendapat kurang bersetuju kerana anggapan kami memanjakan pelajar, namun kami berpegang pada objektif awal penubuhan SKP yakni membantu pelajar mengalas perut mereka.

“Dengan sumbangan kecil ini diharap baki duit yang ada boleh digunakan untuk keperluan lain dan mengurangkan bebanan mereka.

“Selain itu, cabaran selaku sukarelawan SKP, kami juga berdepan kerenah pelajar kurang puas hati dengan servis kami.

“Terkilannya kerana ada yang merungut dengan menu disediakan kerana tidak kena pada selera mereka. Kami ingin memuaskan keinginan semua orang tetapi ia tidak mudah kerana kami perlu bekalkan mengikut bajet ada.

“Kami berharap mereka memberi sokongan dan kerjasama terhadap sukarelawan. Bagi saya, itu antara cabaran perlu ditempuh sukarelawan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 April 2016 @ 5:00 AM