PEMAIN Sarawak Syahrul Azwari (tiga kanan) mengasak pintu gol TFC II.

Petra Jaya: Hasrat Sarawak melakar kemenangan kedua tidak kesampaian apabila tewas 0-2 ketika berdepan Terengganu FC II (TFC II) pada aksi Liga Super di Stadium Negeri, Kuching malam tadi.

Skuad bimbingan Datuk K Rajagobal gagal meneruskan momentum kemenangan meskipun beraksi di laman sendiri dan sebaliknya terpaksa berputih mata kerana gagal meraih tiga mata.

Kedua-dua pasukan memulakan aksi dengan corak perlawanan yang agak seimbang.

Bagaimanapun Sarawak terlebih dulu berpeluang mencipta jaringan namun percubaan penyerang importnya, Gilmar Da Silva pada minit ke-25 diselamatkan penjaga gol lawan, Ilham Amirullah Razali.

Selang dua minit kemudian, giliran Junior Aparecido melakukan rembatan tetapi ditangkap kemas penjaga gol.

TFC II cuba mengatur gerakan dengan melancarkan beberapa serangan menerusi Makan Konate namun penjaga gol Sarawak Shahril Saari bijak membaca percubaannya menyelamatkan pintu gol dari dibolosi.

Bersambung babak kedua, skuad pelawat tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan apabila Konate menanduk masuk hasil sepakan sudut pada minit ke-54.

Sarawak cuba bangkit menyamakan kedudukan namun percubaan Syahrul Azwari Ibrahim digagalkan Ilham.

Kelekaan pertahanan tuan rumah mengundang padah selepas pasukan kendalian Rachmat Darmawan sekali lagi menambah koleksi gol pada minit ke-69 menerusi Dilshod Sharifudinov.

Ketinggalan 0-2 memaksa anak buah Rajagobal bekerja keras untuk merapatkan defisit gol namun kedudukan itu kekal sehingga tamat perlawanan.

Ternyata tanpa kehadiran penyokong berikutan hukuman bermain di stadium kosong turut merencatkan semangat pasukan Sarawak.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 April 2016 @ 5:05 AM