Azizan Hashim


Ipoh: Jaringan hatrik Dalibor Volas (gambar) membantu Pahang menumpaskan Perak 4-3 dalam saingan dua pasukan tercorot Liga Super di Stadium Perak, malam tadi.

Volas menjaringkan gol pada minit 13, 43 dan 91 untuk menghampakan tuan rumah yang sudah berkira-kira mampu mengutip sekurang-kurangnya satu mata.

Kemenangan ini yang pertama buat skuad

bimbingan Razip Ismail sekali gus meningkatkan tekanan terhadap The Bos Gaurus.

Begitupun jika ada perkhabaran gembira buat Perak ialah penyerangnya, Vokhid Shodiev berjaya menamatkan kemarau gol dalam liga elit itu.

Namun jaringan pemain Uzbekistan itu pada minit ke-9 segera dipadam Volas empat minit kemudian.

Pemain itu kemudian meletakkan Pahang di depan dua minit sebelum rehat apabila menanduk masuk hantaran sepakan percuma German Ezequiel Pacheco.

Bersambung babak kedua tuan rumah menyamakan kedudukan melalui rembatan Elias Fernandes de Oliviera pada m-57.

Tetapi 12 minit kemudian giliran Pacheco mengukir nama sebagai penjaring apabila menanduk hantaran lintang cantik ketua pasukan Matthew Davies.

Perak tidak berdiam diri apabila pemain gantian Ahmad khairil Anuar membuat larian solo sebelum merembat gol penyamaan pada m-77 untuk kedudukan 3-3 sebelum jaringan Volas yang memastikan kemenangan Pahang.

Meskipun menang Pahang tetap berada di tangga tercorot dengan Perak berada di atas mereka hasil perbezaan jaringan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 April 2016 @ 5:05 AM