Agensi

Shanghai: Akibat populasi golongan tua yang semakin meningkat, pihak berkuasa Shanghai mengumumkan langkah drastik bagi memastikan anak-anak melawat ibu bapa mereka.

Sesiapa yang tidak melawat ibu bapa dengan kerap, bakal mendapat penarafan kredit buruk yang menyebabkan mereka sukar membeli rumah dan membuat pinjaman.

Undang-undang itu akan berkuat kuasa di Shanghai pada 1 Mei depan yang membolehkan ibu bapa yang tidak dilawati anak mereka mengemukakan aduan.

Individu yang masih enggan melawat ibu bapa mereka akan diberi penarafan kredit buruk yang memberi kesan kepada pekerjaan dan juga aspek kehidupan seperti membeli kereta atau memohon kad perpustakaan.

Undang-undang baru itu bertujuan menggalakkan orang ramai pulang ke rumah untuk melawat ibu bapa mereka.

Individu yang menghantar ibu bapa ke rumah jagaan orang tua juga tidak terlepas dan mereka juga mesti melawat ahli keluarga mereka itu.

Ketika lawatan, mereka juga perlu menyediakan bantuan daripada segi kewangan dan kerohanian kepada ibu bapa.

Shanghai juga membuat jaringan undang-undang yang membolehkan ibu bapa memfailkan saman terhadap anak mereka.

Bagaimanapun, pihak berkuasa masih belum memberitahu berapa kerap penduduk bandar itu perlu melawat ibu bapa mereka.

Menurut laporan Shanghai Daily pada 2014, jumlah warga emas yang tinggal di Shanghai dijangka melepasi enam juta orang menjelang 2025.

Shanghai bukan bandar pertama memperkenalkan undang-undang seperti itu, sebelum ini wilayah Guangdong dan Jiangsu turut menguatkuasakan peraturan serupa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 April 2016 @ 5:09 AM