Keadaan kereta dipandu mangsa. FOTO ihsan pembaca
Keadaan kereta dipandu mangsa. FOTO ihsan pembaca
Muhamaad Razis Ismail

Kuala Krai: Lelaki berusia 45 tahun maut selepas kereta dipandu melanggar kerbau sebelum merempuh tiang elektrik dan gerai menjual daging di Kilometer 61.5, Jalan Kota Bharu-Gua Musang di Bukit Jong, Kuala Krai, pagi tadi.

Dalam kejadian 1.30 pagi itu, mangsa, Halid Shukri meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Mayat dibawa ke Hospital Kuala Krai untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga untuk dikebumikan.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai Superintendan Abdullah Roning berkata, ketika kejadian mangsa memandu kereta jenis Proton Wira dari Kota Bharu ke Gua Musang.

Katanya, apabila tiba di lokasi kejadian, tiba-tiba seekor kerbau melintas jalan sebelum mangsa merempuh haiwan berkenaan.

" Kereta mangsa kemudian terbabas ke kiri jalan dan merempuh tiang elektrik dan gerai menjual daging di tepi jalan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 April 2016 @ 1:58 PM