TFC II berjaya menumpaskan Sarawak 2-0 di Stadium Negeri, kelmarin.

Kuala Terengganu: Pengendali Terengganu II (TFC II) Rahmad Darmawan gembira dengan kebangkitan bertenaga anak buahnya sambil menyifatkan pemainnya sudah menemui rentak dan kian serasi seperti dibuktikan ketika membenam cabaran Sarawak 2-0 di Stadium Negeri, Kuching, malam kelmarin.

Lebih membanggakan jurulatih berusia 49 tahun dari Indonesia itu adalah kemenangan kedua berturut-turut itu sebagai penebus duka gagal mencatat sebarang kemenangan sebelum ini hingga berada dalam kelompok ketiga terbawah Liga Super.

“Saya memuji semangat kental tanpa mengenal erti penat lelah yang diperagakan pemain The Titans hingga berjaya menebus kembali kegagalan dalam enam perlawanan sebelum ini termasuk dalam saingan Piala FA.

“Saya percaya jika corak sebegini dipertingkatkan pemain, hasrat TFC II untuk mengintai kedudukan lebih baik dalam carta Liga Super musim ini lebih cerah,” kata bekas pengendali pasukan Pelita Jaya dan Persija Jakarta itu.

Selepas tujuh perlawanan, The Titans yang dibarisi ramai pemain muda yang juga pendatang baharu Liga Super kini melonjak dari tangga kesembilan ke tangga keenam dengan mengutip sembilan mata.

Pada pertemuan dengan Sarawak dalam stadium kosong tanpa kehadiran penonton tuan rumah akibat didenda Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), pemain tengah kreatif dari Mali Makan Konate meledak jaringan pertama The Titans sebelum pemain import dari Uzbekistan yang juga bekas pemain Sime Darby Dilshod Sharofetdinov menambah derita skuad Bujang Senang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 April 2016 @ 9:58 AM