JOSEPH (kanan) diasak Konate pada aksi malam tadi.
Nazri Abu Bakar


Melaka: Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya melunaskan impian meraih kemenangan selepas menewaskan Terengganu 3-1 pada aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, di sini, malam tadi.

Keputusan itu menyaksikan The Cops menambah koleksi kemenangan kali ketiga, sekali gus membaiki kedudukan dalam carta liga selepas mereka beraksi penuh komited sepanjang 90 minit walaupun menerima tentangan sengit pasukan pelawat.

The Cops berjaya mencipta jaringan seawal minit keenam menerusi penyudahan tepat import dari Singapura Safuwan Baharudin selepas mengambil kesempatan daripada kesilapan penjaga gol pelawat Sharbinee Allawee Ramli.

Namun Terengganu berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-29 menerusi rembatan kaki kiri Joseph Kalang Tie.

Walaupun cuba menambah jaringan namun rembatan Nizam Rodzi pada minit ke-18 dan import Maldives, Ali Ashfaq pada m-20 dan m-41 berjaya diselamatkan Sharbinee yang cemerlang mengelak gawangnya bocor buat kali kedua.

Pelawat bagaimanapun hampir di depan, namun percubaan Norshahrul Idlan Talaha berjaya ditepis penjaga gol Haziq Nadzli, sekali gus menghampakan usaha penyerang kebangsaan itu menghadiahkan gol kedua pasukannya.

Aksi tegang pada babak pertama menyaksikan dua kad kuning dilayangkan pengadil Suiful Mohd Roodzali ke atas pemain PDRM Andrezinho (minit ke-44) dan pertahanan lawan Vincent Bikana (minit ke-45), namun Andrezinho seharusnya mampu meledak gol kedua pasukannya pada masa kecederaan babak pertama tetapi rembatan kencangnya dari jarak 25 meter tersasar di kanan gawang Terengganu.

Ali berjaya menyumbat gol kedua tuan rumah menerusi kaki kirinya pada minit ke-72 dan Amir Saiful Baderli pada minit ke-89 untuk ceria dengan tiga mata selepas kedua-dua pasukan beraksi 10 pemain pada minit ke-77 apabila Joseph dan pertahanan PDRM Souleymane Konate dilayangkan kad merah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 April 2016 @ 10:02 AM