AZEERA dan B-Heart yakin dengan single Kehilangan.
Syanty Octavia Amry


Biasanya pendatang baru suka digandingkan dengan artis senior sekiranya merakamkan lagu duet. Berbeza dengan Azeera Azizi, 20 yang memilih berkolaborasi dengan teman baiknya, B-Heart atau nama sebenarnya, Hairi Azrie Hendri, 20.

Tampil dengan single Kehilangan ciptaan B-Heart, Azeera yakin percubaan pertamanya itu dapat diterima pencinta muzik tempatan.

Malah sebelum single itu dilancarkan, ia sudah menjadi siulan orang ramai yang mengikuti perkembagannya di laman sosial.

“Ini single pertama saya. Sebagai pendatang baru saya tidak bimbang berduet dengan artis seangkatan.

“Saya yakin dengan kebolehan kami dan insya-Allah lagu Kehilangan

mampu memikat hati pendengar,” katanya yang mengenali B-Heart sejak di bangku sekolah.

Bagi B-Heart pula, sebagai pencinta genre hip hop, tiada apa yang menggembirakan hatinya selain dapat tampil dengan lagu ciptaan sendiri.

“Sama seperti Azeera, saya tidak kisah siapa yang jadi rakan gandingan saya.

Popular atau tidak itu bukan jadi keutamaan kerana apa yang lebih mustahak adalah keserasian untuk mengangkat lagu yang dibawa.

“Saya sudah hasilkan lebih 100 lagu dan apabila satu daripadanya berjaya mengangkat nama saya sebagai penyanyi, itu satu kepuasan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.

“Diharap single ini menjadi permulaan yang baik buat saya dan Azeera,” katanya yang menjadikan Malique sebagai idola.

Sebelum ini Azeera dan B-Heart aktif menyertai pelbagai pertandingan dan persembahan nyanyian.

Selain menyanyi, Azeera juga atlet sukan boling dan akan beraksi dalam Sukan Malaysia (SUKMA) tahun ini.

Mereka bernaung di bawah pengurusan Rumpun Records manakala single Kehilangan edaran Universal Music.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 April 2016 @ 11:33 AM