Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my


Kesibukan tugas di pejabat adakalanya membuatkan kita sering mengabaikan waktu makan, itu belum termasuk pemilihan makanan yang tidak sihat ketika terlalu lapar.

Bagi mereka yang sentiasa kesuntukan masa, lazimnya memilih makanan tersedia di depan mata tidak kira sama ada ia mengandungi nutrisi baik atau sebaliknya.

Makanan yang dijual biasanya makanan segera atau mudah disediakan tapi tidak memiliki kandungan nutrien yang baik, atau sememangnya kerana makanan sihat biasanya tidak disukai. Namun, makanan tidak sihat tentu menjejaskan kesihatan di samping menjadi penyebab masalah berlebihan berat badan.

Walaupun nampak sukar, anda boleh menjadikan pola makan anda lebih baik. Berikut beberapa penyelesaian yang praktikal untuk mereka yang sering sibuk

Jangan lupakan sarapan

Sarapan akan meningkatkan produktiviti kerana dapat mengurangkan keletihan, rasa mengantuk dan membantu anda memberi tumpuan dengan baik. Pada saat bangun tidur, metabolisme otak meningkat sehingga memerlukan glukosa sebagai tenaga. Glukosa dalam tubuh pada pagi hari menurun kerana anda tidak makan semalaman ketika sedang tidur.

Menu sarapan yang baik adalah makanan yang memerlukan waktu untuk dicerna misalnya roti gandum dengan telur dadar ditambah bawang, paprika dan tomato.

Jangan lewatkan makan tengah hari

Makan tengah hari penting kerana selain mengisi perut, makan tengah hari juga waktu tubuh dapat rehat sebentar. Sebaik-baiknya, makan tengah hari tidak dilakukan di meja kerja tetapi di tempat lain supaya tubuh dan fikiran kembali segar selain memperbaiki mood.

Perhatikan juga menu makanan yang dipilih. Pastikan pilihannya memenuhi semua nutrien penting yang diperlukan badan. Sekali sekala boleh saja menikmati makanan segera tapi perlu dikawal jumlahnya. Menu makan tengah hari yang baik ialah 50 peratus sayur dan buah, 25 peratus protein dan 25 peratus karbohidrat.

Snek

Godaan menikmati snek mungkin timbul kerana ada rakan sekerja yang membawa makanan ringan atau kuih-muih yang disediakan ketika perjumpaan. Diet sihat bukan bererti pantang menikmati snek, jadi ia boleh diambil asalkan tahu jumlah kalorinya.

Hindari juga makanan yang digoreng kerana mengandungi lemak berlebihan. Menu snek yang sihat termasuk makanan direbus seperti ubi atau pisang rebus, biskut gandum, yogurt atau coklat gelap.

Teh dan kopi

Teh dan kopi menu biasa di pejabat. Bagi sesetengah orang minum teh dan kopi sudah menjadi kebiasaan yang sukar dihilangkan. Bahkan, tubuh terasa tidak bertenaga jika belum menikmati minuman ini.

Pengambilan teh atau kopi boleh saja asalkan tidak melebihi jumlah sepatutnya. Pastikan kandungan teh atau kopi tidak dicampur gula atau susu berlebihan kerana ia hanya akan meningkatkan kalori.

Makan malam sihat

Kebiasaannya tiada sebarang aktiviti berat yang kita lakukan di sebelah malam, jadi sebaik-baiknya kurangkan pengambilan karbohidrat seperti nasi. Jika memilih makan di rumah, untuk menahan rasa lapar, anda boleh memilih snek sihat atau buah-buahan. Menu makan malam yang disarankan ialah sayuran, protein atau buah-buahan.

Pengambilan makanan mengikut masa dan bahagian yang tepat dapat membantu anda memiliki cukup tenaga untuk menghadapi hari yang sibuk, terhindar daripada penyakit, mengekalkan berat badan ideal serta menjaga penampilan agar tetap berkeyakinan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 April 2016 @ 11:43 AM