SESI soal jawab bersama (dari kiri) Timbalan Presiden Persatuan Farmasi Malaysia Amrahi Buang, Ahli Persatuan Perubatan Malaysia Wilayah Persekutuan Dr Koh Ka Chai dan Ketua Pegawai Eksekutif Guardian Health & Beauty Peter J Dove mengenai BMD.
SEMBURAN asap antara kaedah menghapuskan nyamuk.
Yusliza Yakimir Abd Talib

Denggi ialah jangkitan bawaan vektor yang paling pesat berkembang di dunia. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam tempoh 50 tahun lalu, kadar insidennya meningkat 30 kali.

Anggaran terkini menunjukkan 390 juta jangkitan denggi setiap tahun di seluruh dunia dengan rantau ASEAN menyumbang lebih daripada 70 peratus daripada penduduk global ini dengan risiko penyakit itu.

Di Malaysia, wabak denggi merebak ke lebih banyak kawasan dan memberi kesan terhadap lebih banyak nyawa. Bilangan kematian akibat denggi dua kali ganda dalam suku pertama 2015 berbanding tempoh yang sama pada 2014, dengan jumlah pada tahun ini cenderung menaik.

Ini terbukti apabila statistik Kementerian Kesihatan menunjukkan dari Januari hingga 26 Mac 2016, jumlah kes demam denggi menunjukkan peningkatan sebanyak 7.7 peratus apabila 35,060 kes dilaporkan bagi tahun ini berbanding 32,535 kes bagi tempoh yang sama tahun lalu.

Justeru, Kesihatan Pengguna GlaxoSmithKline (GSK) baru-baru ini menjalin kerjasama dengan organisasi lain di Malaysia termasuk Kementerian Kesihatan, Persatuan Perubatan Malaysia, Persatuan Farmasi Malaysia dan Guardian Health & Beauty dalam usaha baru untuk menyokong negara memerangi denggi.

Bersama Melawan Denggi (BMD) diwujudkan sebagai sebuah organisasi bukan keuntungan bertujuan memperkasa penyedia penjagaan kesihatan, organisasi dan komuniti bagi menangani isu denggi secara holistik daripada pencegahan kepada pengurusan.

Gabungan itu akan menyokong sasaran untuk mengurangkan beban denggi kepada masyarakat yang akan dicapai melalui pemerkasaan dan pembabitan 7,000 doktor perubatan am dan ahli farmasi yang akan terbabit dalam mendidik orang ramai. Ini sejajar dengan strategi global WHO untuk pencegahan dan kawalan serta inisiatif kerajaan.

Pengurus Besar Kesihatan Pengguna GSK Malaysia dan Brunei Stacy Wallace berkata, GSK terdorong memperjuangkan usaha itu kerana mengambil berat mengenai bahaya dan kesan denggi di negara ini yang semakin meningkat terutama dalam kalangan pekerja dan keluarga mereka.

Pelancaran BMD dirasmikan oleh Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam bersama rakan perikatan yang mengambil bahagian dalam majlis menandatangani perjanjian pengesahan komitmen mereka dalam kempen itu di ibu negara, baru-baru ini.

Subramaniam berkata, BMD akan membantu menyumbang kepada usaha kerajaan dalam mendidik, mengurus dan memerangi denggi di Malaysia. Kementerian melakukan banyak usaha dalam pencegahan dan kawalan penyakit bawaan vektor. Kini dengan gabungan penyedia penjagaan kesihatan, organisasi swasta serta kepakaran dan sumber kolektif masyarakat akan membolehkan mencapai kesan yang lebih besar dalam perang melawan denggi.

Memberi tumpuan kepada pemerkasaan, kempen kesihatan awam itu akan menggabungkan langkah pencegahan dan kawalan dengan kesedaran pengurusan demam denggi. Strategi gabungan akan merangkumi:

Memperkasakan komuniti dan paling penting penyedia penjagaan kesihatan yang boleh mengesan demam denggi pada peringkat permulaan dan menyediakan rawatan denggi yang sesuai dengan cepat.

Integrasi aktiviti pencegahan dan kawalan didorong oleh Kementerian Kesihatan, ahli akademik dan organisasi pendidikan mengenai pengurusan demam denggi diperjuangkan melalui pengamal penjagaan kesihatan, peruncit dan GSK.

Kempen pendidikan yang mantap melalui pelbagai saluran termasuk digital, arus perdana dan media sosial dan pengaktifan lapangan.

BMD menetapkan sasaran tinggi tahun ini membabitkan 8,000 penyedia penjagaan kesihatan, merekrut 3,000 Pejuang Denggi dalam masyarakat dan mendidik 1 juta rakyat Malaysia.

Untuk mencapai kejayaan ini, BMD akan melancarkan beberapa inisiatif termasuk program latih-jurulatih, pusat maklumat tersusun melalui rangkaian rakan gabungan, pameran pendidikan komuniti bergerak, pergerakan Pejuang Denggi melalui Facebook dan aktiviti lapangan, pekerja sukarelawan yang akan menjadi sebahagian daripada usaha mendekati masyarakat di kawasan panas denggi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 April 2016 @ 11:44 AM