X
 Pengarah Program Hidayah Centre Foundation, Abu Shariz Sarajun Hoda (tengah) bersama ahli NGO ketika sidang media memaklumkan perkembangan terbaru isu syarahan pendakwa Dr Zakir Naik (gambar kiri) petang tadi. - Foto /GHAZALI KORI
Pengarah Program Hidayah Centre Foundation, Abu Shariz Sarajun Hoda (tengah) bersama ahli NGO ketika sidang media memaklumkan perkembangan terbaru isu syarahan pendakwa Dr Zakir Naik (gambar kiri) petang tadi. - Foto /GHAZALI KORI
Meor Riduwan Meor Ahmad


Kuala Lumpur: Penganjur program ceramah pendakwah terkenal dari India, Dr Zakir Naik, menjemput masyarakat bukan Islam hadir program itu yang akan diadakan di Stadium Hoki Bukit Jalil pada Sabtu ini.

Hadirin yang hadir bukan saja dapat mendengar syarahan, malah boleh bertanya kemusykilan agama kepada Dr Zakir.

Pengarah program Abu Shariz Sarajun Hoda berkata, pihaknya akan menyediakan tempat duduk khas bagi peserta bukan Islam serta memberi keutamaan kepada mereka yang bertanya soalan.

Katanya, pihak yang keliru dengan maklumat membabitkan pendakwah antarabangsa itu ini boleh hadiri sendiri ke Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini bermula jam 5 petang hingga 11.45 malam.

"Kami memberi laluan istimewa kepada semua pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bersedia hadir mendengar sendiri ceramah bertajuk Is The Quran God's Word?.

"Kami bersedia memperuntukkan sebahagian besar tiket masuk dan kerusi hadapan supaya pihak terbabit dapat mendengar dan bertanya sendiri kepada Dr Zakir Naik," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Ditanya mengenai dakwaan pihak tertentu ceramah Dr Zakir Naik mempunyai unsur fitnah, menghina dan memburukkan pihak lain, beliau menafikannya.

"Topik dibincangkan Dr Zakir Naik tidak sama sekali bertujuan mengundang penghinaan, kebencian serta membawa permusuhan antara agama.

"Program itu mengikut semangat Perlembagaan Malaysia dan menjunjung tinggi Islam sebagai agama Persekutuan serta melalui proses perbincangan serta mendapat kelulusan pihak berwajib," katanya.

Jelas beliau, program ceramah itu juga bagi mempromosi kesefahaman antara agama di Malaysia.

"Oleh itu program Dr Zakir Naik akan dijalankan dengan terbuka untuk memberi peluang semua bangsa dan agama mendengar penjelasan dan merungkai salah faham terhadap dakwah Islam disampaikan beliau," katanya.

Katanya, pihaknya sudah memohon dan mendapat kerjasama penuh, termasuk daripada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Jabatan Perdana Menteri serta 10 NGO.

Sementara itu, berhubung kenyataan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar supaya program sama di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) pada 17 April ini dibatalkan, beliau berkata, pihaknya sudah membuat rayuan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 April 2016 @ 9:42 PM