Hendrawan (kiri) sedang memantau latihan dilakukan oleh Chong Wei. FOTO NSTP/OSMAN ADNAN
Hendrawan (kiri) sedang memantau latihan dilakukan oleh Chong Wei. FOTO NSTP/OSMAN ADNAN

Kuala Lumpur: Ketika kejayaan Datuk Lee Chong Wei meraih gelaran ke-11 di Terbuka Malaysia masih diperkatakan jurulatih perseorangan negara, Hendrawan pantas kembali ke realiti cabaran getir yang menanti.

Baginya Chong Wei harus segera kembali fokus kepada persiapan menghadapi Sukan Olimpik Rio de Janeiro, Brazil, Ogos ini - untuk memenuhi impian meraih pingat emas dua kali gagal dimiliki pada 2008 dan 2012.

Mengakui dirinya lebih tertekan untuk membantu Chong Wei, 33, memenuhi impian itu, Hendrawan tidak mahu kejayaan di Terbuka Malaysia diperbesarkan kerana bimbang menjejaskan persiapan ke Olimpik.

"Terima kasih kepada semua yang sentiasa menyokong Chong Wei pada saat beliau kalah dan menang. Kemenangan itu memang memberikan semangat tambahan tetapi saya harap ia tidak diperbesarkan.

"Persiapan lebih setahun ini bukan satu tugas yang mudah buat saya. Rakyat Malaysia masih mengharapkan Chong Wei seperti dulu tetapi semua perlu tahu, keadaan Chong Wei sudah berbeza.

"Berbeza dalam erti usianya sudah meningkat, perjalanan karier Chong Wei tidak lagi seperti 2008 dan 2012 (Olimpik Beijing dan London). Chong Wei juga telah berkeluarga dan saya juga perlu mengambil kira banyak perkara," kata Hendrawan juara dunia 2001 yang berasal dari Malang, Indonesia.

Hendrawan mengakui tugasnya lebih berat lagi kerana beliau adalah orang penting dalam menentukan kejayaan Chong Wei, lebih-lebih lagi untuk membantu bekas pemain nombor satu dunia itu meraih pingat emas yang dinantikan.

"Saya sebagai jurulatih pun tidak boleh seperti dulu lagi. Saya tidak boleh mengarah Chong Wei mengikut cara saya, berlatih dan beraksi dalam kejohanan. Banyak perkara yang saya perlu pertimbangkan," katanya.

Hendrawan juga berharap Chong Wei juga dapat memberi tumpuan sepenuhnya dalam latihan berbaki beberapa bulan lagi sebelum Sukan Olimpik bermula.

"Kita akan berusaha dalam tempoh empat bulan ini untuk fokus menjalani latihan. Dia ada keluarga, kawan, masalah begitu tetap akan ada.

"Tetapi paling penting saat ini adalah Olimpik, apa yang perlu diketepikan harus diketepikan," katanya.

Sementara itu, Hendrawan berkata beliau tidak setuju dengan tanggapan kekalahan dua pemain handalan dari China, Chen Long serta Lin Dan adalah satu strategi sebelum ke Olimpik, sebaliknya menyifatkan kedua-dua pemain itu sukar menyesuaikan diri dengan gelanggang di Stadium Malawati, Shah Alam.

"Saya lihat mereka sukar membiasakan diri dengan suhu dalam stadium dan sehingga di akhir perlawanan, Chen Long masih bergelut untuk menyesuaikan diri," katanya. Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 April 2016 @ 9:49 PM