AKIM & The Majistret.
Ramlah Zainal


Konsert Jelajah Ledakan 25 Tahun Harian Metro bersama Yeo’s Yeogurt diteruskan lagi di Miri, Sarawak hujung minggu ini bagi menghargai pembaca sempena sambutan jubli perak akhbar ini.

Program bermula dengan sesi bertemu peminat pada Jumaat disusuli acara kemuncak iaitu konsert pada malam keesokannya di pusat beli-belah Miri Fan City. Barisan artis popular tanah air yang bakal membuat persembahan juga sudah bersiap sedia untuk bertemu dan menghiburkan peminat mereka di bumi kenyalang itu.

Artis yang terbabit dalam konsert ini ialah Akim & The Majistret, Radhi OAG, Ronnie Hussein, Amelina, Sandra dan Sakura Band.

Akim yang juga vokalis The Majistret berkata, mereka juga teruja untuk turut serta menjayakan Konsert Jelajah Ledakan 25 tahun Harian Metro.

“Kami bertuah kerana diundang Harian Metro menjayakan konsert yang cukup istimewa ini.

“Inilah masanya kami turun padang untuk beramah mesra dengan peminat di Miri. Semoga Harian Metro akan menganjurkan lagi konsert seperti ini pada tahun depan,” katanya.

Menerusi konsert itu, kata Akim, mereka akan menyampaikan lima lagu popular iaitu Potret, Mewangi, Obses, Sisaku dan Terlalu Mudah.

“Kami berharap peminat di Miri tidak akan melepaskan peluang keemasan menonton persembahan secara eksklusif di Miri Fan City pada Sabtu nanti,” katanya.

Bagi penyanyi kelahiran Sarawak, Radhi pula, dia tidak sabar untuk bertemu peminatnya di Miri.

“Ia bukan kali pertama saya ke Miri dan ia tempat ini dekat di hati. Saya juga pembaca setia akhbar Harian Metro sejak dulu.

“Justeru, saya tidak ingin melepaskan peluang menjayakan konsert ini sekali gus bertemu peminat di Miri,” katanya.

Sambung Radhi, dalam konsert itu nanti dia akan menyampaikan tiga lagu iaitu Akustik, Slumber dan single terbaru berjudul Sentuhan yang belum pernah dipersembahkan kepada umum.

Selepas menjayakan Konsert Jelajah Ledakan 25 Tahun Harian Metro bersama Yeo’s Yeogurt di Muar, ratu dangdut Amelina akan menjayakan konsert di Miri pula.

“Sejak buat kemunculan semula, saya sering mendapat undangan menjayakan persembahan majlis makan malam anjuran pihak korporat di Miri.

“Kali ini, saya sangat seronok kerana dapat bertemu semua peminat di sana sekali gus mengimbas nostalgia selepas 15 tahun menyepi.

“Saya akan menghiburkan peminat dengan tiga lagu termasuk lagu popular, Cinta Harus Seksi dan single terbaru buat peminat nanti,” katanya.

Selain berhibur, pengunjung turut berpeluang memenangi hadiah lumayan acara cabutan bertuah antaranya TV LED 40”, Samsung Galaxy Tab, Samsung Galaxy J1 Ace dan lima produk Air Cooler.

Siri Jelajah 25 Tahun Harian Metro bersama Yeo’s Yeougurt turut dijayakan bersama rakan penaja termasuk Yeo Hiap Seng Trading Sdn Bhd, Malaysia Airlines Berhad, air mineral Cactus, Unilever Food Solutions, Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd, GCH Guardian, Bank Rakyat, Grab, DRB-Hicom University of Automotive Malaysia dan AmBank Group.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 April 2016 @ 12:08 PM