YAKIN boleh jadi lelaki  penyayang dan suami terbaik.
YAKIN boleh jadi lelaki penyayang dan suami terbaik.
Syanty Octavia Amry


Tidak pernah menyesal lambat berkahwin, pelakon dan penerbit Hans Isaac beranggapan andai dia berkahwin sejak awal dulu mungkin perkahwinannya tidak bahagia serta berakhir dengan penceraian.

Hans, 45, mengakui perkara itu pada sesi rakaman program Sembang Teh Tarik Kaw yang diacarakan Datuk AC Mizal di Pinewood Studios Iskandar Malaysia, Johor, baru-baru ini.

Melalui program itu, Hans berkongsi kisah mengenai percintaan dan perniagaan yang giat diusahakannya kini.

“Saya akui memang ada seseorang dalam hidup ini. Namun saya belum bersedia mengumumkan siapakah orangnya. Adakah dia artis atau orang biasa tunggulah masa yang sesuai.

“Bukan sengaja hendak mengelak soalan wartawan tetapi saya tidak mahu apa yang pernah saya lalui sebelum ini berlaku lagi.

“Memang sekarang saya sudah bersedia mendirikan rumah tangga. Andai tiba masa kami hendak berkahwin, saya dan dia akan beritahu kepada semua,” katanya.

Hans berkata, jika dulu dia memang cerewet dan mengharapkan wanita yang sempurna untuk dijadikan teman hidup.

Namun sebagai lelaki dan manusia dia perlu akur tiada yang sempurna di dunia ini.

“Ada teman memberitahu, dalam mencari pasangan hidup tidak ada yang sempurna. Mungkin 20 peratus tidak sempurna dan hanya 80 peratus saja.

“Sebagai lelaki, sayalah yang perlu berusaha untuk melengkapkannya supaya menjadi sempurna.

“Dengan usia sekarang dan keyakinan yang tinggi untuk berkahwin, saya juga yakin menyatakan andai saya berkahwin sekarang, saya boleh menjadi lelaki yang penyayang serta suami terbaik,” katanya.

Berkongsi impian perkahwinannya, Hans berkata, pada hari itu dia akan memenuhi segala permintaan isteri kerana mengganggap itu hari bahagia isterinya.

“Saya akan menuruti permintaannya untuk berkahwin mengikut tema apa saja yang dia mahu,” katanya.

Dalam perkembangan lain Hans bakal tampil menerbitkan teater Lawak Ke Der yang bakal dipentaskan di Istana Budaya pada Mei depan.

Selain itu, dia juga bakal berlakon filem dengan sebuah produksi Indonesia dan bakal ditayangkan di negara seberang itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 April 2016 @ 11:46 AM