ALLAHYARHAM Hazli ketika membuat liputan sukan permotoran untuk ruangan ARENA Harian Metro di Doha, Qatar, pada 2011.
Ayusliza Azizansssss


Shah Alam: Jenazah Penolong Ketua Penyunting Harian Metro Hazli Hussaini, 45, akan dikebumikan selepas waktu Zohor di Tanah Perkuburan Kampung Rapat Jaya, Ipoh, Perak.

Allahyarham meninggal dunia kira-kira jam 3 pagi tadi selepas hampir setahun menghidap kanser paru-paru di kediamannya di Cahaya SPK, di sini.

Adik Ipar Allahyarham, Mazidah Mukri berkata, arwah dikesan menghidap kanser berkenaan pada Julai tahun lalu.

"Allahyarham tidak pernah mengeluh sepanjang sakit dan sering berfikiran positif mengenai penyakitnya malah sentiasa berusaha untuk sihat kembali.

"Bagaimanapun, sejak tiga minggu baru-baru ini, kesihatan arwah semakin teruk selepas melakukan pembedahan membuang sel kanser yang mula merebak ke bahagian otak," katanya.

Allahyarham meninggalkan isteri Muarafah Mukri, 45, dan lima anak lelaki berusia setahun hingga 17 tahun.

Turut hadir menziarahi Allahyarham, Ketua Pegawai Eksekutif The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), Datuk Mohammad Azlan Abdullah, Pengarang Urusan Kumpulan NSTP, Datuk Abdul Jalil Hamid dan Pengarang Kumpulan Harian Metro, Datuk Mustapa Omar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 April 2016 @ 12:24 PM