SANDRA harap konsert ini jadi platform terbaik untuk lebih dikenali peminat.
Ramlah Zainal


Konsert Jelajah Ledakan 25 Tahun Harian Metro bersama Yeo’s Yeogurt yang akan berlangsung di pusat beli-belah Miri Fan City di Miri, Sarawak, Sabtu ini cukup istimewa buat Sandra kerana ia pertama kali dia membuat persembahan di bandar itu.

Penyanyi yang digilap dari program Mentor Legend 2014 ini mengakui dia tidak mahu melepaskan peluang keemasan menjayakan konsert berkenaan.

Terdahulu, penyanyi berusia 21 tahun ini pernah terbabit dalam konsert sama di dua lokasi iaitu Alor Star dan Muar.

“Saya bertuah kerana diberi kepercayaan untuk sama-sama terbabit dalam konsert ini sekali gus memberi sokongan kepada Harian Metro.

“Ia juga pertama kali saya mengadakan persembahan di Miri dan mengenali peminat di sana dengan lebih dekat lagi. Sebagai artis baru, saya sangat berharap konsert ini menjadi platform terbaik untuk lebih dikenali peminat di sana,” katanya.

Selain Sandra, konsert berkenaan juga menampilkan Akim & The Majistret, Radhi OAG, Ronnie Hussein, Amelina dan Sakura Band.

Sandra berkata, selain menyanyikan lagu popularnya Hey Kau, dia juga bakal mempersembahkan single terbarunya berjudul Ku Tak Mahu Cinta.

“Sebagai artis baru, saya sangat berharap peminat di Miri terhibur dengan persembahan saya,” katanya.

Namun, Sandra mengakui dia juga diselubungi rasa gementar. tetapi pada masa sama gembira dan bangga kerana dapat berkongsi pentas dengan penyanyi lebih popular seperti Akim & The Majistret dan Amelina.

“Sebagai artis baru, inilah masanya saya menimba ilmu dan pengalaman sebanyak mungkin daripada artis lebih senior serta bertukar pendapat dengan mereka,” katanya.

Selain berhibur, pengunjung turut berpeluang memenangi hadiah lumayan dalam acara cabutan bertuah antaranya TV LED 40”, Samsung Galaxy Tab, Samsung Galaxy J1 Ace dan lima produk Air Cooler.

Siri Jelajah 25 Tahun Harian Metro bersama Yeo’s Yeogurt turut dijayakan bersama rakan penaja air mineral semula jadi Cactus.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 April 2016 @ 1:23 PM