X
HAJAT Ronnie andai keadaan mengizinkan ketika konsert Sabtu ini.
HAJAT Ronnie andai keadaan mengizinkan ketika konsert Sabtu ini.
Ramlah Zainal


Barisan artis popular tanah air sudah bersiap sedia menghiburkan peminat sempena Konsert Jelajah Ledakan 25 Tahun Harian Metro bersama Yeo’s Yeogurt di pusat beli-belah Miri Fan City di Miri, Sarawak, Sabtu ini.

Artis terbabit ialah Akim & The Majistret, Radhi OAG, Ronnie Hussein, Amelina, Sandra dan Sakura Band.

Konsert ini juga cukup bermakna buat bekas vokalis Hyper Act, Ronnie Hussein kerana pertama kali membuat persembahan di Miri.

Bagi pemilik nama sebenar, Shahron Hussein, 34, dia tidak ingin melepaskan peluang keemasan menjayakan konsert jelajah terbabit.

“Ia juga satu cara mengucapkan terima kasih kepada Harian Metro yang banyak membantu menaikkan nama saya dalam bidang nyanyian.

“Selain itu, saya juga dapat bertemu peminat di Miri dengan lebih dekat sempena Konsert Harian Metro ini,” katanya.

Ronnie berkata, dia akan menyampaikan tiga lagu iaitu Dikoyak Waktu, Hanya Aku dan lagu Inggeris khusus untuk menghiburkan peminat di Miri nanti .

“Konsep persembahan pula lebih santai dan dekat dengan penonton serta tidak banyak berbeza dengan konsert yang dijayakan di lokasi Setia Alam sebelum ini.

“Insya-Allah, jika keadaan mengizinkan, saya akan mempromosikan single terbaru berjudul Melangkah Laju,” katanya.

Mengenai gandingan artis lain, kata Ronnie, dia sangat bertuah kerana dapat berkongsi pentas dengan barisan artis lama dan baru menerusi konsert itu nanti.

“Artis yang terbabit dalam konsert ini adalah rakan seperjuangan yang pernah bersama-sama mengadakan persembahan pentas sebelum ini.

“Saya juga berharap konsert ini akan meninggalkan kesan positif kepada semua peminat serta pembaca setia akhbar Harian Metro di Miri,” katanya.

Sebagai penyanyi, kata Ronnie, sudah menjadi kebiasaan buatnya berkomunikasi dengan penonton apabila beraksi

di pentas.

“Saya akan berusaha meluangkan masa dan bergambar dengan peminat. Kepuasan sebagai penyanyi adalah apabila nyanyian dan persembahan mendapat tepukan gemuruh serta maklum balas positif penonton,” katanya.

Selain berhibur, pengunjung turut berpeluang memenangi hadiah lumayan dalam acara cabutan bertuah antaranya TV LED 40”, Samsung Galaxy Tab, Samsung Galaxy J1 Ace dan lima produk Air Cooler.

Siri Jelajah 25 Tahun Harian Metro bersama Yeo’s Yeogurt turut dijayakan bersama rakan penaja air mineral semula jadi Cactus.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 April 2016 @ 11:58 AM