SITI Sarah wanita muda berjiwa besar.
MELAYAN sebahagian pelanggannya.
SITI Sarah bersama kakitangannya di kilang jahitan miliknya.
MENYIAPKAN tempahan jahitan.
SITI Sarah bersama suami tercinta, Abdul Rahman
Siti Nadirah Hafidzin


Baru menginjak ke usia 28 tahun, namun wanita gigih berpesonaliti menarik ini berjaya membuktikan faktor usia tidak menjadi penghalang kepadanya untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan individu berjaya lain.

Mengakui amat meminati bidang kecantikan, fesyen dan jahitan sejak kecil sebelum berpeluang mendalami ilmu dalam bidang itu sejak enam tahun lalu menjadikan dia semakin nekad untuk berjaya.

Barangkali ada yang cemburu dek kejayaan dimilikinya kini apabila dia bukan saja berjaya mempunyai jenamanya sendiri dalam bidang fesyen, malah turut mempunyai sebuah kilang jahitan di Bangi, Selangor yang diusahakan bersama suami tercinta.

Menceritakan detik awal pembabitannya, Siti Sarah Zainol berkata, pemilihannya untuk berkecimpung dalam bidang itu didorong atas faktor minat mendalam.

“Pembukaan kilang jahitan ini bermula sejak lima tahun lalu ketika saya dan suami menerima tempahan menjahit baju pesilat seluruh Malaysia secara pukal.

“Dari situ, kami mula menambah pekerja untuk menjahit kerana saya pasti tidak mampu untuk menyiapkan jumlah tempahan yang terlalu banyak melebihi 1,000 pasang dalam satu waktu,” katanya.

Siti Sarah berkata, kilangnya yang beroperasi sebagai Akademi Jahitan Dsarahman bermula secara kecil-kecilan kini mempunyai 10 tukang jahit.

“Berkat kesabaran serta ketekunan saya dan suami, kami kini bukan saja menerima tempahan jahitan dari dalam negara, malah turut menerima tempahan dari negara jiran terutama dari Singapura.

“Pastinya saya sentiasa menekankan aspek kekemasan dalam jahitan supaya hasil pakaian yang ditempah pelanggan menepati kehendak serta cita rasa mereka,” ujarnya.

Tiada istilah penat

Cabaran yang diterima dalam bidang diceburinya bukanlah semudah disangka. Kadangkala, Siti Sarah mengakui dia perlu duduk sebentar bagi menaikkan semangat untuk terus maju dalam bidang dilakukan.

“Selain menguruskan kilang, saya juga mempunyai butik yang menjual pelbagai busana Muslim lelaki dan wanita atas jenama saya sendiri.

“Disebabkan itu, saya perlu bijak dalam membahagikan masa supaya semua urusan kerjaya dan keluarga tidak terabai,” katanya.

Menurut Siti Sarah, soal penat juga tidak boleh dijadikan halangan untuknya terus maju.

“Saya tidak mahu jadikan semua perkara remeh sebagai halangan untuk berjaya kerana ia semua akan melemahkan semangat.

“Disebabkan itu, saya perlu fokus dan menjaga disiplin diri supaya apa yang saya uruskan kini berjalan lancar dan tidak terhenti di tengah jalan,” ujarnya.

Tambahnya, dia perlu bersaing secara sihat dengan pengusaha kilang jahitan lain serta butik ternama.

“Kelebihan kami ialah ‘butik dan kedai jahit’ kerana pelanggan boleh datang terus ke sini menempah baju kesukaan mengikut rekaan dikehendaki.

“Dari situ, saya cuba menarik hati pelanggan dengan memberikan layanan serta perkhidmatan terbaik supaya mereka berpuas hati serta gembira dengan hasil diterima,” katanya.

Suami tunjang kejayaan

Kejayaan seorang lelaki disebabkan adanya seorang wanita yang menolaknya ke hadapan, namun Siti Sarah amat bersyukur kerana dalam situasinya suami tercinta sentiasa ada di sisi tidak kira ketika senang mahupun susah.

“Suami tulang belakang saya dan dia jugalah perancang utama dalam apa yang saya usahakan kini kerana dia menguruskan bermula daripada pembukaan dan penjagaan kedai serta kilang, bahagian akaun, pemasaran serta kawalan kualiti produk.

“Suami juga diibaratkan seperti mentor saya kerana dia sentiasa berusaha membantu dan memberikan yang terbaik dalam perniagaan yang kami usahakan kini,” katanya.

Menurut Siti Sarah, suaminya, Abd Rahman Haidzir, 35, juga tidak meninggalkannya berseorangan untuk mengharungi suka duka bidang itu.

“Pastinya bidang ini ada dukanya dan pada saat itu, suami sentiasa berada di sisi untuk memastikan saya tidak terus bersedih selain menaikkan semangat saya.

“Kami bersama-sama membantu antara satu sama lain bagi memastikan perniagaan ini terus cemerlang dan mencapai sasaran,” ujarnya.

Selain fokus dengan penjualan busana dengan jenamanya D’sarahman, Siti Sarah menyimpan hasrat murni untuk membantu individu berminat menimba ilmu jahitan di Akademi Jahitan D’sarahman.

“Kilang kami yang beroperasi sepenuhnya kini turut dibuka untuk kelas jahitan bagi membantu individu berminat.

“Saya berhasrat untuk menjadikan akademi ini sebagai pusat latihan serta rujukan industri fesyen Muslimah dan jahitan supaya dapat melahirkan individu berkemahiran serta berpengetahuan suatu hari nanti,”katanya.

Menurutnya, walaupun impiannya itu agak besar, dia akan berusaha sedaya upaya bagi merealisasikannya.

“Tiada apa yang mustahil kerana dengan adanya niat dan usaha selain semangat tidak putus asa pasti segala diimpikan akan menjadi kenyataaan.

“Pada masa sama, saya berhasrat untuk membuka cawangan butik kami di seluruh negara pada tahun depan,” katanya menambah, sesiapa saja mampu berjaya dan dengan keazaman serta semangat yang kuat pasti segala yang diimpikan mampu dicapai walaupun terpaksa berdepan pelbagai dugaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 April 2016 @ 12:23 PM