MENAIK taraf ciri permainan sedia ada ke tahap lebih tinggi.
MENAIK taraf ciri permainan sedia ada ke tahap lebih tinggi.
Hazril Md Nor


Seperti langkah Tim Burton yang memberikan impak dalam dunia perfileman dengan sentuhan ‘dark fantasy’, permainan video Dark Souls 3 menampilkan elemen serupa sekali gus memberikan anda peluang menyelami Zaman Perte­ngahan Eropah suatu ketika dulu.

Berpaksi kepada konsep Role-Playing Game (RPG), keluaran ketiga francais Dark Souls di pelantar konsol dan PC ini memantapkan lagi naratifnya untuk menghubungkan pemain baru ke dalam permainan. Sebagai pemain, anda ditugaskan menumpaskan Cinder, makhluk berkuasa yang ditawan kuasa jahat.

Bagaimanapun, ia tidak semudah itu kerana seperti keluaran sebelumnya, karakter anda akan selalu berdepan dengan kematian dan perangkap yang mampu membunuh karakter dengan kerap. Tetapi, semakin lama anda dalam permainan, pergerakan musuh lebih mudah dikenal pasti untuk mengelakkan kematian.

Pergerakan pantas

Bezanya berbanding keluaran sebelumnya, Dark Souls 3 mengutamakan sesi perlawanan pantas yang memerlukan anda menetapkan fokus sepenuhnya untuk pertahankan diri dengan menunduk, mengelak dan sebagainya.

Sepanjang kembara anda dalam dunia Lothric, anda akan menemui senjata baru, perisai dan keleng­kapan lain. Selain itu, Dark Souls 3 memberikan kebebasan kepada anda untuk memilih kelengkapan sesuai dengan corak permainan.

Sistem penggunaan dua senjata diperkenalkan apabila anda boleh memilih daripada pelbagai jenis senjata seperti pisau, pedang dan senjata jarak jauh yang setiap satu­nya mempunyai keunikan tersendiri. Seperti biasa, senjata berat lebih perlahan hayunan dan agak rumit digunakan.

Elemen baru

Sistem pertempuran dengan ketua antara elemen lain yang wajar diberi perhatian. Ini kerana tahap kesukarannya diubah pada perte­ngahan perlawanan. Sebagai contoh, mereka akan bertukar kepada bentuk lain sekali gus menghentikan pemain menggunakan kombo yang sama.

Namun, hampir semua pertempuran dengan ketua makhluk ini boleh dikaji dengan teliti untuk anda mengambil kesempatan ke atas kelemahannya. Sistem unggun api membolehkan anda hidup kembali di lokasi itu dan kemudian bergerak ke lokasi berbeza sepantas kilat.

Grafik mengagumkan

Dari segi visual, ia sememangnya mengagumkan terutama dalam aspek reka bentuk makhluk. Landskapnya juga mencerminkan Zaman Pertengahan Eropah yang penuh dengan lokasi unik yang kerap membuatkan anda keliru.

Seperti biasa, keadaan pertempuran membabitkan senjata klasik dan makhluk gergasi membuatkan permainan ini kekal pada elemen asalnya iaitu fantasi dan aksi untuk memenangi hati peminat yang dahagakan konsep sedemikian.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 April 2016 @ 12:45 PM